Nasional

Individu ingkar PKP tidak direkod dalam sistem jenayah PDRM

INDIVIDU yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak direkodkan dalam sistem jenayah Polis Diraja Malaysia.

Ini kerana mereka tidak disiasat di bawah Kanun Keseksaan sebaliknya siasatan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Individu yang mengingkari PKP tertakluk kepada Akta 342 yang tidak menjadikan ia satu kesalahan jenayah direkodkan sebaliknya ia amat berbeza dengan jenayah yang disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

“Kalau mereka (orang ramai) melakukan jenayah ingkar PKP mereka hanya perlu membayar kompaun dan ingkar PKP merupakan kesalahan lain yang bukan seperti dituduh di bawah Kanun Keseksaan,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini seperti yang dilaporkan BERNAMA.

Dalam perkembangan lain ditanya mengenai sama ada sekatan jalan raya perlu diteruskan atau sebaliknya berikutan PKP akan diberi beberapa kelonggaran bermula Isnin ini, Ismail Sabri berkata keputusan berkenaan bergantung kepada PDRM.

“Yang pertama daripada segi tindakan sekatan jalan raya pihak PDRM akan memutuskan sama ada ia perlu dikurangkan atau dikekalkan,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM akan mengurangkan sekatan jalan raya mulai Isnin ini dan akan memfokuskan kepada penguatkuasaan pematuhan jarak sosial selain mengekang kemasukan pendatang tanpa izin serta kegiatan penyeludupan.

Ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa Isnin depan (4 Mei) yang diumumkan kerajaan yang memberikan beberapa kelonggaran berbanding PKP.

Dalam pada itu, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 820 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 486,307 kenderaan.

Ismail Sabri berkata berkata jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 23,266 individu.

Mengenai operasi sanitasi awam COVID-19, beliau berkata sebanyak 5,069 operasi sanitasi termasuk di 61 Zon Kuning dan Merah manakala sebanyak 8,769 premis kerajaan, premis perniagaan dan kawasan awam telah disanitasi sejak 30 Mac lepas.

Dalam pada itu, mengenai pengurusan pusat kuarantin, beliau berkata sehingga hari ini, sebanyak 237 pusat kuarantin telah beroperasi dengan 17,375 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam seramai 548 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib,” katanya.

(Visited 293 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button