Nasional

Individu henti di lorang kecemasan, polis akan rekod keterangan

SEMALAM telah tular di media sosial sebuah gambar sekumpulan individu memberhentikan kereta di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang-Pantai, Jalan Jelebu bagi mengambil gambar di lebuhraya berkenaan.

Susulan itu, pihak polis akan memanggil sekumpulan individu yang dipercayai ahli sebuah kelab kereta bagi memberi keterangan dalam masa terdekat berhubung gambar yang tular itu.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata untuk permulaan pihak polis akan memanggil ketua kelab itu dahulu dan pihak polis telah mengenal pasti 48 kereta setakat ini.

“Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” katanya.

Menurut beliau, hukuman denda boleh dikenakan ke atas individu yang terbabit di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Mohd Fazley turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Dalam pada itu, Mohd Fazley berkata Lebuhraya Temiang-Pantai merupakan lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di lokasi berkenaan tetapi tindakan mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya.

“Oleh itu, perbincangan akan dilakukan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa untuk menyelaraskan tindakan lanjut dan memberi cadangan untuk menyediakan tempat khusus untuk orang ramai bergambar serta menjaja di kawasan itu,” katanya. -SM

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button