Nasional

MAIPs bakal tubuh Pusat Autisme

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengorak langkah kehadapan dalam merealisasikan kesejahteraan pendidikan dan kesihatan masyarakat khususnya di Negeri Perlis dengan akhirnya bakal menubuhkan sebuah Pusat Autisme Negeri Perlis.

Idea pembangunan Pusat Autisme ini bagi melestarikan Autisme Hub for Educational Resources and Training (A-Heart) yang pada asalnya diinisiatifkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bermula pada September 2013 dan disempurnakan pelancaran kempen mengumpul dana oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor universiti.

Objektif Pusat Autism Negeri Perlis ini adalah bertujuan bagi mewujudkan sebuah pusat penjagaan dan pendidikan harian khusus kepada golongan anak-anak istimewa autism bagi memastikan perkembangan menyeluruh golongan istimewa ini melalui pendekatan terapi, kurikulum pendidikan dan latihan berasaskan pekerjaan yang diperlukan oleh warga komuniti. Ia juga diharap dapat meningkatkan perkembangan anak-anak istimewa ini melalui penyediaan latihan, pengajaran dan pembelajaran berkesan, pembangunan teknologi dan sumber pendidikan serta pelaksanaan program kesukarelawan bagi memanfaatkan keistimewaan golongan ini bersama komuniti.

Koloborasi erat MAIPs bersama rakan strategik khususnya Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri serta pelbagai agensi dan NGO lain serta para dermawan yang budiman diharapkan dapat merealisasikan satu lagi ikon pembangunan MAIPs demi kesejahteraan tahap pendidikan dan kesihatan rakyat di Negeri Perlis seiring ‘Sasaran Pencapaian MAIPs berdasarkan Pelan Strategik MAIPs 2021-2025’.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘Hijrah Minda MAIPs Kali Yang Ke 26 bagi tahun 2020’ yang diadakan di Masjid Salehudin Al Ayyubi Padang Besar

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JAIPs), Dr Hazman Hassan.

Turut hadir, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Hakim Syarie Negeri Hj Ibrahim Deris.

Tambah baginda, ‘Pembangunan sebuah Pusat Autism oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini diharapkan dapat mula dibangunkan berkonsepkan wakaf bagi Fasa 1 bermula pada tahun 2021 yang akan datang ini melibatkan kos awal berjumlah RM1 juta yang sudahpun dihimpun setakat ini.

Mohd Nazim pula menambah bahawa, seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang dijemput untuk turut sama terus menyumbang melalui program Wakaf Tunai MAIPs demi merealisasikan Pusat Autism Negeri Perlis ini.

Sumbangan wakaf tunai boleh disalurkan melalui akaun MAIPs di Bank Islam Malaysia iaitu 090 100 100 63983 atau kaunter dan tabung wakaf MAIPs.

‘Sumbangan wakaf pasti beroleh ganjaran pahala yang berpanjangan daripada Allah SWT’, jelas beliau.

Di program tersebut 10 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Turut diadakan ialah promosi memperkenalkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan pasukan sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW) Tentera Darat Malaysia selain taklimat daripada wakil Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Perlis.

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button