Berita

Import-Eksport Kini Lebih Cekap dengan Sistem Baharu MyCIEDS

Technology Depository Agency Berhad (TDA) kini melangkah setapak ke hadapan dalam usaha mendigitalkan sistem sokongan perdagangan negara apabila menaik taraf Sistem Dokumentasi Import Eksport Kastam Malaysia (MyCIEDS) kepada sebuah platform digital bersepadu. Langkah ini bertujuan mempertingkatkan pengurusan serta pemantauan dokumen sokongan bagi urusan import dan eksport di bawah seliaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sistem MyCIEDS yang baharu akan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara dan dijangka memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan kastam, sekali gus memperkukuh kecekapan pengurusan sempadan serta mempertingkat daya saing perdagangan Malaysia.

TDA, agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, terus komited memastikan pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP) Kerajaan dijalankan secara menyeluruh, tersusun dan berfokus.

Projek Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE), yang kini dijenamakan semula sebagai MyCIEDS, merupakan penambahbaikan kepada sistem terdahulu dan dibangunkan dengan teknologi terkini oleh Edaran IT Services Sdn Bhd menerusi pelaksanaan ICP. Sistem ini memanfaatkan teknologi Document Management System (DMS) dan telah diintegrasikan sepenuhnya dengan Sistem Maklumat Kastam (SMK).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr. Sharoul Jambari, kejayaan pelaksanaan sistem ini menjadi bukti keberkesanan mekanisme ICP dalam menyokong agenda nasional.

“ICP bukan sekadar memenuhi obligasi perolehan, tetapi berperanan sebagai pemangkin kepada pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan dan penciptaan nilai jangka panjang untuk negara. Melalui pendekatan ini, kita dapat memastikan impak berterusan terhadap ekonomi dan ekosistem industri tempatan,” ujarnya.

Tambah beliau, MyCIEDS dijangka memberikan manfaat besar kepada zon operasi JKDM di seluruh negara, sekali gus mempertingkat kelancaran rantaian perdagangan serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.

Dibangunkan untuk memodenkan pengurusan dokumen sokongan import dan eksport, MyCIEDS memudahkan proses pemantauan, penyimpanan dan capaian dokumen oleh pihak kastam. Ia turut menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkukuh ekosistem digital melalui penggunaan teknologi tempatan dan mempercepatkan proses pelepasan barangan.

TDA terus komited memastikan setiap projek di bawah inisiatif ICP memberi nilai tambah sebenar kepada negara menerusi pembangunan kapasiti teknologi tempatan dan kesan limpahan ekonomi yang mampan. Setakat ini, TDA telah melaksanakan 142 program ICP melibatkan pelbagai sektor strategik negara.

Secara keseluruhan, sebanyak 657 projek ICP yang telah direalisasikan telah memberikan impak ketara kepada pertumbuhan ekonomi, termasuk peningkatan pendapatan, produktiviti, nilai tambah dalam produk dan perkhidmatan, pertumbuhan KDNK serta pengukuhan pasaran pekerjaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button