Nasional

KEMAS latih golongan asnaf berniaga

JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Melaka akan membantu golongan asnaf di negeri ini keluar daripada garis kemiskinan dengan melatih dan memberikan peruntukan untuk mereka melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Pengarahnya, Rozkhaidi Othman berkata, sebagai permulaan seramai 10 orang asnaf yang menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menjadi projek perintis ke arah untuk meningkatkan meningkatkan taraf ekonomi keluarga melalui Program Asnaf Berdikari.

Menurutnya, bagi tujuan tersebut pihaknya menyediakan peruntukan RM3,000 bagi membiayai kursus berkaitan dan pembelian pelbagai peralatan seperti dapur memasak, khemah, meja serta modal pusingan.

Sebagai permulaan katanya, langkah tersebut dilihat dapat membantu golongan asnaf untuk menambah pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebagai permulaan memandangkan ramai daripada mereka tiada pengalaman dalam bidang keusahawanan.

“Sebagai projek perintis bermula tahun ini, KEMAS bekerjasama dengan MAIM memilih 10 asnaf untuk menyertai program Asnaf Berdikari.

“Mereka yang dipilih perlu mengikuti kursus keusahawanan di Kolej Komuniti selama tiga hari dalam mana bidang yang mereka minat seperti pastri, kulinari, andaman, seni tangan dan jahitan.

“Apabila mereka mulakan perniagaan, Kemas akan memantau mereka ini selama dua tahun dan setiap bulan kita akan mendapatkan maklumat perniagaan yang mereka jalankan untuk dipantau,” ujarnya.

Beliau ditemui pemberita pada progam Mini Karnival Jualan Usahawan Bimbingan KEMAS dan Quick Win Melaka di ruang legar dan lot parkir Menara Persekutuan, Ayer Keroh di sini hari ini.

Seramai 38 usahawan bimbingan KEMAS quick win menyertai program selama dua hari berakhir esok termasuk 10 golongan asnaf yang baharu memulakan perniagaan.

Rozkhaidi berkata, jika projek perintis itu berjaya, lebih ramai golongan asnaf di negeri ini akan dipilih untuk mengikuti Program Asnaf Berdikari selepas ini.

Sehubungan itu katanya, KEMAS akan berbincang dengan pihak pengurusan Menara Persekutuan untuk membenarkan usahawan asnaf dan quick win membuat jualan di ruang legar setiap bulan. – SM Melaka

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button