Negeri

Selangor kaji pembinaan lebuh raya Bangi-Putrajaya

Kerajaan Selangor berkata, mereka menerima permohonan daripada kerajaan pusat untuk meluluskan projek lebuh raya yang menghubungkan Bangi dan Putrajaya.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, mereka akan meneliti cadangan itu dalam mesyuarat sekretariat negeri akan datang.

Katanya, beliau agak keberatan dengan cadangan lebuh raya Bangi-Putrajaya tersebut kerana ia membabitkan pembinaan di atas sungai.

“Biasanya, kami tidak akan menolak projek seperti ini kerana ia dapat menyumbang kepada kesalinghubungan di Selangor.

“Saya menyuarakan kebimbangan terhadap projek Bangi-Putrajaya kerana ia mungkin melibatkan pemindahan penduduk yang tinggal berhampiran sungai, selain ia akan turut menyumbang kepada pencemaran dan banjir.

“Kerajaan negeri akan meletakkan kriteria ketat terhadap kontraktor sebelum kita boleh membenarkan mereka memulakan kerja,” katanya ketika menjadi panel program bual bicara anjuran Amanah Selangor lapor FMT.

Izham Hashim.

Bagaimanapun, Izham tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kontraktor utama untuk lebuh raya Bangi-Putrajaya yang dicadangkan itu.

“Kami sedang meneliti empat cadangan lebuh raya lain, selain Bangi-Putrajaya,” katanya.

Katanya, lebuh raya yang akan menghubungkan Klang ke Kuala Lumpur turut dicadangkan kepada kerajaan negeri.

“Lebuh raya ini bertujuan mengurangkan lalu lintas di sepanjang Lebuhraya Persekutuan,” katanya tanpa memberikan maklumat lanjut mengenai projek Klang-Kuala Lumpur.

Sebelum ini, penduduk setempat dan Adun menyuarakan kebimbangan berikutan cadangan pembinaan projek Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) untuk mengurangkan lalu lintas antara Damansara dan Kinrara.

Namun, kerajaan Pakatan Harapan menangguhkan cadangan berkenaan atas alasan ia masih “di tahap awal”.

Izham memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri tahun lalu, PJD Link tidak mendapat lampu hijau untuk diteruskan dan penilaian kesan lalu lintas, sosial dan alam sekitar juga belum dibuat.

Sebelum ini, timbul spekulasi PJD Link bakal menggantikan Kidex, yang dibatalkan bekas menteri besar, Mohamed Azmin Ali atas alasan teknikal.

(Visited 1,305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button