NasionalParlimen

Bandar Klang akan tenggelam pada 2050-Charles Santiago

Ramalan dibuat berdasarkan perubahan iklim

AHLI Parlimen Pakatan Harapan Klang (PH-Klang) Charles Santiago berkata, bandar Klang, Selangor bakal ‘tenggelam’ pada tahun 2050 akibat perubahan iklim.

Beliau berkata, Klang juga akan berdepan dengan keadaan lebih banyak banjir besar menjelang 2050 akibat perubahan iklim.

CHARLES SANTIAGO

Ahli Parlimen DAP itu berkata demikian selepas merujuk kepada kajian Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) bahawa sebahagian bandar pesisiran pantai termasuk Klang akan tenggelam dan kos untuk projek tebatan banjir akan meningkat terutama di bandar  yang pesat membangun.

Hujahannya di Dewan Rakyat ini berkaitan dengan bandar Klang akan tenggelam turut bersandarkan kepada kajian Cent-GPS yang telah mengukur peningkatan paras air laut menggunakan model “Shuttle Radar Topography Mission” (SRTM).

Beliau turut merujuk kepada kajian “Elevation Data Triple Estimates of Global Vulnerability to Sea-Level Rise and Coastal Flooding terbitan Nature Communications” yang menjangkakan sebahagian daripada bandar Klang akan tenggelam akibat kenaikan paras air laut dan perubahan iklim.

“Sehingga hari ini, Klang dilanda banjir lima kali dalam tempoh lima bulan. Yang teruk sekali ialah banjir pada 17 dan 18 Disember tahun lalu” katanya.

Katanya lagi, Klang merupakan sebuah bandar pelabuhan dengan kepadatan penduduk tinggi dan amat memerlukan dana tambahan bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran, menambah kapasiti pintu air, membina kolam tadahan banjir dan meninggikan ban di pesisiran pantai.

Charles berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, perubahan iklim dengan hujan berterusan dan taburan air terlalu tinggi menyebabkan sistem saliran di Klang tidak dapat menampung kapasiti air dalam jumlah besar.

Justeru beliau mencadangkan kepada kerajaan memperkenalkan konsep “sponge city” yang diamalkan di negara China atau “drip irrigation” di India sebagai langkah jangka panjang untuk tebatan banjir.

“Saya juga mencadangkan supaya Kementerian Alam Sekitar dan Air menubuhkan Suruhanjaya Khas Banjir untuk menyiasat dan memberi cadangan bagi rancangan keseluruhan pelan tebatan banjir supaya bandar ini tidak tenggelam.

“Siasatan ini boleh diketuai pakar tempatan dan luar negara untuk menyiasat bencana banjir dan menyediakan pelan penyesuaian iklim yang lebih komprehensif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan “Disaster Relief Force” dan pusat latihan mengenai kerja menyelamat berkaitan banjir ditubuhkan.

“Institusi seperti ini boleh melengkapkan kerja NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang ketika ini dilihat lemah,” katanya. – SM

 

 

(Visited 636 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button