Nasional

Iktibar dari pandemik Covid-19, Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah meminta agar semua pihak mencari dan mengambil hikmah daripada pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, walaupun suasana yang sedang dialami ini merencatkan pelbagai perancangan, ia juga sewajarnya menjadikan kita lebih bersemangat untuk mencari potensi ke arah melaksanakan lonjakan strategi.

Sebagai contoh, inilah masanya untuk sesuatu organisasi merencana pendekatan dan kaedah baharu dalam sesuatu urus tadbir dan pengurusan setelah tepu dengan sistem dan suasana sedia ada.

Titah Tuanku Raja Muda, pandemik ini tidak wajar dijadikan penghalang yang mencabar kejayaan bahkan ia menjadikan kita lebih kreatif dalam mencari hikmah untuk lebih cemerlang.

Demikian titah baginda menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas memperkenankan untuk penangguhan penganjuran Majlis Penyerahan Rumah Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat Peringkat Tenaga Nasional Berhad Negeri Perlis serta Penyerahan Mock Cheque Zakat Perniagaan TNB Perlis kepada MAIPs yang pada asalnya dijadualkan pada hujung bulan ini akibat pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa jawatankuasa-jawatankuasa di bawah MAIPs seperti Jawatankuasa Fatwa Negeri, Jawatankuasa Pengawasan dan Pengajaran Agama Islam, Jawatankuasa Kewangan dan pelbagai jawatankuasa pengurusan MAIPs sentiasa memikirkan jalan untuk Pengurusan MAIPs dapat melaksanakan fungsi dan peranannya walaupun berhadapan dengan suasana pandemik yang melanda dunia.

(Visited 324 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button