Berita

Ikrar Perikatan Nasional untuk PRN Johor

 

TEKS UCAPAN
YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PENGERUSI PERIKATAN NASIONAL

PELANCARAN IKRAR PERIKATAN NASIONAL
BAGI PILIHANRAYA NEGERI JOHOR

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan rahmat-Nya kita dapat bersama-sama pada pagi ini dalam Majlis Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional #DEMIBANGSAJOHOR sempena Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac 2022.

2. Walaupun kita masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik COVID-19, saya yakin semangat dan kesungguhan calon-calon dan jentera Perikatan Nasional semakin kuat untuk bersama-sama memulihkan negara, khususnya negeri Johor. Iltizam mereka untuk berbakti kepada seluruh rakyat negeri Johor adalah komitmen jangka panjang yang dipertaruhkan oleh Perikatan Nasional. Kita menawarkan barisan kepemimpinan berwibawa untuk menerajui aspirasi Demi Bangsa Johor. Saya amat yakin, gabungan 56 calon Perikatan Nasional yang akan bertanding dalam pilihan raya mampu membawa suara rakyat Johor yang inginkan kesejahteraan dan kemakmuran negeri Johor yang gemilang.

3. Perikatan Nasional berikrar untuk terus menjunjung Prinsip Raja Berperlembagaan, mewujudkan pentadbiran kerajaan negeri yang cekap, berintegriti dan bebas rasuah, mampu merangsang pertumbuhan ekonomi yang pesat serta prihatin terhadap kebajikan rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran bangsa Johor.

4. Untuk itu, Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat Johor. Ini bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
5. Justeru, Perikatan Nasional telah menyediakan Ikrar berteraskan 8 tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 144 pendekatan. Ikrar yang ditawarkan ini bukan retorik semata-mata. Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan prihatin rakyat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

6. Pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangai oleh KEPIMPINAN YANG BERINTEGRITI DAN BEBAS RASUAH. Oleh demikian, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendokong pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa. Selain itu, kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri juga akan dipertingkatkan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri. Ini marangkumi usaha-usaha untuk menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan dan mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

7. Sebagai sebuah negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara, Johor mempunyai potensi yang amat besar untuk dipacu ke tahap yang optimum. Perikatan Nasional akan memberi tumpuan kepada KEUTUHAN EKONOMI JOHOR. Oleh yang demikian, Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022 – 2032 yang menyeluruh dan holistik akan disediakan bagi memperkasa masa depan ekonomi Johor. Pelan Sedekad ini mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat dan menumpukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar.

8. Usaha juga akan dipergiat untuk memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dan menjadikan Johor sebagai hab digital negara dengan menarik pelaburan syarikat teknologi antarabangsa. Pembangunan mampan ekonomi Johor juga akan disokong melalui pendigitalan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Selain itu penyediaan hab PMKS dan Skim Prihatin PMKS, pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor diberikan untuk tempoh lima tahun agar usahawan PMKS dapat terus menjadi antara pemangkin utama ekonomi Johor.

9. Dengan perancangan yang holistik, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dapat ditawarkan untuk rakyat Johor. Di samping itu, pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dalam sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan akan disediakan.

10. Perikatan Nasional akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri Johor bagi meringankan beban yang ditanggung. Oleh itu, Perikatan Nasional menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah, memperluaskan Program Jualan Prihatin Rakyat, meneruskan pengagihan bakul makanan Johor Prihatin secara berkala dan memperkasa penyelarasan pengagihan bantuan prihatin rakyat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk OKU.

11. Untuk membantu golongan penjaja yang terkesan dengan pandemik Covid-19, bantuan khas kepada penjaja akan disediakan dalam bentuk penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan untuk tempoh selama lima tahun. Selain itu, bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor juga akan disediakan.

12. Bagi merangsang pemulihan ekonomi negeri Johor, Perikatan Nasional menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera membuka sempadan negara. Negeri Johor yang bersempadan degan Singapura tentunya akan menerima banyak manfaat limpahan ekonomi apabila sempadan negara dibuka semula. Kita akan dapat melihat aktiviti ekonomi negeri Johor terutamanya dalam sektor pelancongan dan peruncitan akan kembali rancak dengan pembukaan sempadan negara. Ini tentunya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan rakyat. Pembukaan sempadan juga akan memudahkan urusan rakyat di negeri Johor yang bekerja di Singapura untuk berulang-alik ke tempat kerja dan kembali ke pangkuan keluarga.

13. Berdasarkan data yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kawalan sempadan, Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh saya telah mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya sempadan negara dibuka semula seawal 1 Mac 2022. Syor MPN yang dikemukakan dalam bulan Disember tahun lalu dan bulan Februari tahun ini adalah amat penting untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara. Saya berharap kerajaan tidak lagi berlengah atau mengambil masa yang terlalu lama untuk membuka semula sempadan negara kita demi kepentingan perniagaan dan kebajikan rakyat.

14. KEPRIHATINAN KEPADA RAKYAT adalah keutamaan Perikatan Nasional. Dalam hal ini semua golongan masyarakat, termasuklah belia, wanita, warga emas, orang kurang upaya, masyarakat orang asli dan komuniti FELDA sentiasa diberikan perhatian. Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan, khususnya dalam memperkasa dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar ini dalam aktiviti ekonomi dan sosial. Sebagai contoh, Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor akan diwujudkan bagi menggilap generasi pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda. Bantuan komputer riba dan bantuan tunai juga akan disediakan untuk anak-anak muda yang akan melanjutkan pengajian.

15. Perhatian akan turut diberikan kepada usahawan belia dan wanita serta koperasi yang bergiat aktif dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Selain itu, kesejahteraan warga emas dan OKU tidak diabaikan dengan memastikan keperluan kumpulan sasar ini sentiasa diberi penekanan dalam dasar kerajaan negeri. Begitu juga dengan kemajuan sosioekonomi masyarakat orang asli khususnya dalam penyediaan infrastruktur dan penglibatan dalam aktiviti ekonomi yang berdaya maju.

16. Perikatan Nasional akan terus prihatin terhadap nasib masyarakat FELDA. Kerajaan PN pimpinan saya telah membuktikan keprihatin terhadap masyarakat FELDA dengan menghapus kira RM8. 3 bilion hutang peneroka FELDA. Walaupun tempoh pentadbiran Kerajaan PN singkat – hanya 18 bulan sahaja – tetapi atas dasar keprihatin kita terhadap masyarakat FELDA di negara ini, kita telah berjaya melakukan perkara yang gagal dilaksanakan oleh BN selama berpuluh tahun mereka memerintah. Untuk rekod, BN tambah hutang FELDA, PN hapus hutang peneroka FELDA.

17. Khusus bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat FELDA, selain penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasan rancangan FELDA, Perikatan Nasional akan memastikan projek perumahan generasi baharu FELDA yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu FELDA terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih akan diselamatkan. Penglibatan warga FELDA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi akan dipergiat melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan. Selain itu, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu FELDA ditetapkan pada kadar RM1.00 sekaki persegi.

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

18. Bagi menjamin KESEJAHTERAAN SOSIAL, Perikatan Nasional akan memastikan pendidikan berkualiti disediakan untuk memperhebat generasi pewaris Johor dengan tumpuan kepada penyediaan fasiliti dan teknologi digital serta meningkatkan akses pendidikan kepada semua rakyat, khususnya dalam kalangan keluarga yang memerlukan. Akses kepada pendidikan agama yang berkualiti menerusi sekolah-sekolah agama negeri Johor juga akan dipertingkatkan untuk murid-murid beragama Islam.

19. Perkhidmatan kesihatan akan dipertingkatkan melalui pembinaan infrastruktur dan penyediaan Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor kepada kumpulan berpendapatan rendah. Bagi perumahan pula, agihan perumahan mampu milik akan dibuat secara telus dan penawaran rumah mampu milik ditingkatkan melalui baik pulih projek terbengkalai dan penambahan rumah transit. Selain itu, kawalan keselamatan sempadan dan kawasan bandar utama akan diperketat melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan. Inisiatif Dana Harmoni Johor, Program Sejahtera Johor dan pemerkasaan komuniti rukun tetangga (KRT) akan dilaksana bagi meningkatkan perpaduan setiap lapisan masyakarat.

20. Perikatan Nasional berikrar akan meningkatkan KECEKAPAN INFRASTRUKTUR, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta jambatan, landasan keretapi, pengangkutan awam dan lapangan terbang. Seiring dengan keperluan akses Internet, liputan Internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di pusat tumpuan orang ramai.

21. Johor kaya dengan keunikan alam semula jadi serta warisan sejarah yang boleh mencipta produk pelancongan bernilai tinggi yang dapat kembali MERANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN Johor. antara pendekatan dalam agropelanconga adalah Program ‘Johor Agro Visit’ dengan pakej farmstay atau latihan pertanian. Selain itu, kemudahan perkhidmatan Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia juga dilihat sebagai berpotensi untuk diketengahkan.

22. KELESTARIAN ALAM SEKITAR juga merupakan paksi dan tunjang utama Perikatan Nasional. Bagi mendepani cabaran perubahan iklim, fokus akan diberikan untuk menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir dan menyediakan pelan induk kesiapsiagaan Kerajaan Negeri dalam mendepani bencana alam. Sistem saliran dan perparitan di kawasan berkepadatan tinggi akan dinaik taraf bagi mengatasi masalah banjir kilat. Selain itu, usaha memulih dan memulihara ekosistem kawasan sungai dan pesisir pantai akan dipergiat bagi melestari kawasan yang terkesan dengan bencana alam.

PENUTUP

Saudara-saudari rakyat Johor,

23. Bagi memastikan tawaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Johor dipenuhi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai oleh anak jati Johor daripada golongan profesional dan berpengalaman akan ditubuhkan. Ini untuk memastikan ikrar yang dilafazkan untuk rakyat di negeri Johor ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus.

24. Untuk kali ini, saya menyeru agar seluruh Bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat dan peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, cekap dan prihatin rakyat. Undilah Perikatan Nasional demi masa depan Bangsa Johor yang gemilang, makmur dan sejahtera.

25. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan IKRAR PERIKATAN NASIONAL UNTUK JOHOR.

DEMI BANGSA – JOHOR!

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Visited 335 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button