fbpx
Nasional

Ijlal al-Malik : Sempena dua dekad pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis

Hari ini 17 April 2020 maka genaplah ‘Dua Dekad’ iaitu 20 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Pemerintah bagi negeri Perlis.

Tarikh keramat ini merakamkan peristiwa penting Pengisytiharan baginda sebagai Tuanku Raja Perlis yang disempurnakan selepas Majlis Mengangkat Raja, memutuskan pelantikan itu yang dilaksanakan di hadapan jenazah Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Balai Rong Seri, Istana Arau pada 17 April 2000.

Sehubungan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selaku urusetia Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu, setelah diperkenankan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs telah menyusun beberapa acara sebanyak 7 hari berturut-turut melalui Program “Perlis Mengaji” yang menzahirkan tribut manisfestasi sembah tahniah dan bai’ah atas pemerintahan cemerlang Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Acara tersebut terpaksa diubah suai dengan penyusunan program di alam maya memandangkan berlakunya pandemik COVID-19 dan PKP Fasa 3 pada ketika ini.

Sepanjang pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah menyaksikan terlalu banyak kemajuan ekonomi dan perkembangan sosial, selain turut terzahir keprihatinan Baginda dalam memperkukuhkan perancangan pembangunan di Negeri Perlis.


Hikmah kebijaksanaan kepimpinan Baginda telah mempamerkan halatuju yang jelas serta menjadikan rakyat Perlis mempunyai rasa kebersamaan, menumpahkan taat setia dan menjadi generasi berwawasan.

Acara yang telah disusun pada setiap hari jam 1 petang selama 7 hari bermula hari ini akan ditayangkan melalui platform maya Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan ‘Suara Sunnah Channel’ sebagai alternatif kerana PKP Fasa 3 yang sedang dihadapi. Acara yang akan dipertontonkan adalah seperti berikut :

17 April (Jumaat) – Pelancaran video ‘Ijlal Al-Malik’

18 April (Sabtu) – Serambi edisi sorotan 20 tahun Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

19 April (Ahad) – Pembentangan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs di Dewan Bahasa dan Pustaka sempena Seminar Institusi Raja (SiRAJ) anjuran UniMAP pada Oktober 2019.

20 April (Isnin) – Serambi edisi DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Ketua Agama Islam.

21 April (Selasa) – Pembentangan YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis di Wacana Wangsa Jamalullail pada Oktober 2019.

22 April (Rabu) – Serambi edisi DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Yang DiPertua MAIPs suatu ketika dahulu dan Pembentangan Pengarah JAIPs di Wacana Wangsa Jamalullail.

23 April (Khamis) – Pembentangan S.S. Mufti di Wacana Wangsa Jamalullail pada Oktober 2019.

Program yang sama bakal diulangi menjelang sambutan rasmi Hari Ulangtahun Keputeraan Baginda yang ke 77 pada 17 Julai yang akan datang kelak.

Pada kesempatan yang sama, seluruh warga MAIPs terus menerus mempersembahkan bai’ah taat setia tidak berbelah bahagi dan mendoakan semoga Tuanku Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid serta seisi usrah kerabat diraja dikurniakan hidayah, dipelihara dan diberi perlindungan oleh Allah swt sepanjang masa, dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan, kekuatan serta kesejahteraan hidup yang berpanjangan untuk terus bersemayam di atas singahsana takhta Kerajaan negeri dengan penuh kasih sayang, adil dan saksama semoga Perlis terus makmur, aman dan sentosa selamanya.

Tinggikan Daulat Serta Adil,
Kekal Perintah Jamalullail.

Dirgahayu Tuanku! Daulat Tuanku!

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button