Berita

ICQ Wang Kelian wajar segera dinaiktaraf – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyarankan agar Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian di Perlis wajar segera dinaiktaraf oleh semua jabatan dan agensi yang bertanggungjawab menyelia kompleks berkenaan.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat singgah bagi menyempurnakan ‘Program Mahabbah Aidilfitri MAIPs – Wilayah Satun 2022’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di kompleks berkenaan pada tengahari semalam.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Tuanku Raja Muda, sudah tiba masanya, fasiliti yang menempatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara di Wang Kelian turut dilengkapi kemudahan yang sempurna serta persekitaran kerja yang kondusif sebagai pemangkin kepada perkhidmatan yang terbaik.

“Sebagai barisan hadapan dan merupakan salah satu ‘Pintu Masuk Negara’, Kompleks ICQ Wang Kelian wajar dinaik taraf agar sekurang-kurangnya setanding dengan Kompleks ICQ Wang Prachan di sebelah Thailand yang telah dinaik taraf dan berubah wajah sejak beberapa tahun yang lalu iaitu sebelum era Covid-19 bermula lagi bagi menjaga imej negeri Perlis dan juga negara Malaysia.” titah baginda.

Sempena kunjungan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan kuih raya kepada para petugas sempadan Malaysia dan juga Thailand, selain turut berkenan mengagihkan kuih raya daripada MAIPs kepada komuniti muslim di Wilayah Satun sepertimana dilaksanakan oleh baginda saban tahun sebelum ini.

Untuk rekod, MAIPs mempunyai hubungan kolaborasi strategik yang sangat erat bersama dengan Majlis-Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman di Selatan Thailand melalui pelbagai bidang seperti pengurusan hal ehwal Islam, pendidikan, Bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

(Visited 508 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button