Nasional

ICAO Sahkan Russia Bertanggungjawab Tembak Jatuh MH17

AGENSI penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), mengesahkan bahawa Russia bertanggungjawab atas insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada malam Isnin, ICAO menyatakan bahawa dakwaan yang dikemukakan oleh Australia dan Belanda terhadap Russia adalah berasas dari segi fakta dan undang-undang.

“Persekutuan Russia gagal menunaikan tanggungjawabnya di bawah undang-undang udara antarabangsa dalam kes tembakan ke atas pesawat MH17,” menurut kenyataan ICAO, yang turut menyifatkan keputusan ini sebagai kali pertama agensi tersebut membuat ketetapan terhadap merit pertikaian antara negara anggota.

Pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine — kawasan yang ketika itu dikuasai kumpulan pemisah pro-Russia dan sedang bergolak akibat konflik bersenjata dengan tentera Ukraine.

Siasatan mendapati MH17 ditembak menggunakan peluru berpandu jenis BUK buatan Russia yang dilancarkan dari kawasan yang dikawal oleh kumpulan pemisah.

Kebanyakan mangsa adalah rakyat Belanda, diikuti 38 rakyat Australia dan 30 warga Malaysia, termasuk beberapa yang mempunyai dua kewarganegaraan.

Pada 2022, sebuah mahkamah di Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap tiga individu, termasuk dua warga Russia, yang didapati bersalah. Namun, Russia enggan mengekstradisi mereka dan terus menafikan sebarang penglibatan dalam tragedi tersebut.

Australia dan Belanda dalam kenyataan bersama menyambut baik keputusan ICAO dan menyifatkannya sebagai detik penting dalam usaha menuntut keadilan serta akauntabiliti bagi mangsa dan keluarga mereka.

“Kami menyeru ICAO supaya segera mengenal pasti bentuk pampasan yang sewajarnya atas pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Russia,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan bahawa Moscow harus memikul tanggungjawab sepenuhnya.

Dalam pada itu, siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi tersebut ditangguhkan tahun lalu selepas pasukan penyiasat memaklumkan bahawa tiada bukti mencukupi untuk mendakwa suspek baharu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button