Jenayah

Ibu tunggal hina solat hajat didenda RM8,000

Seorang ibu tunggal mengaku bersalah menghina ‘solat hajat’ dengan memuat naik posting dan pendapat yang menyinggung dalam Facebooknya, pada Mac, dua tahun lalu.

Hong Jia Ming, 34, hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak awal hari ini.

Dia segera berkata “Saya mengaku bersalah” apabila kerani mahkamah bertanya kepadanya sama ada dia memahami pertuduhan, yang mendorong kerani itu untuk memberitahunya supaya bersabar, dan mendengar dengan teliti.

Hong mengakui menyiarkan cerita di akaun Facebook bernama ‘Joyceanne Hong’ yang menghina umat Islam kerana menganjurkan solat hajat untuk memohon perlindungan Allah untuk Malaysia daripada Covid-19 pada 12 Mac 2020.

Hinaan itu disebarkan secara meluas di dalam WhatsApp tempat kerjanya.

Hong didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, dan pesalah juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Peguam Haijan Omar, yang mewakili Hong merayu atas budi bicara mahkamah untuk mengenakan bon berkelakuan baik atau denda minimum ke atas tertuduh.

“Dia seorang ibu tunggal, yang menjaga seorang anak lelaki berusia sembilan tahun dan berpendapatan kira-kira RM12,000 sebulan sebagai perunding minyak dan gas. Dia juga mempunyai masalah kesihatan.

“Ini juga merupakan kesalahan pertamanya dan dia tidak pernah ditangkap atau didakwa atas sebarang jenayah sebelum ini. Dia seorang warganegara yang baik dan sentiasa melakukan kerja amal.

“Anak guam saya tidak berniat jahat apabila dia memuat naik kiriman itu, tetapi semata-mata untuk meningkatkan kesedaran untuk menghentikan penularan Covid-19,” katanya.

Haijan kemudian memohon mahkamah membenarkan tertuduh membela diri daripada kandang tertuduh, yang kemudiannya dibenarkan oleh hakim.

“Saya dengan rendah hati memohon maaf atas kesilapan memilih perkataan. Saya faham kata-kata saya telah menyinggung perasaan dan melukakan hati rakan-rakan saya.

“Saya telah belajar daripada kesilapan ini. Saya percaya kepada sistem, dan saya berharap sistem itu percaya kepada saya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang membantah permohonan pihak pembelaan dan meminta hakim memerintahkan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas kesalahan itu.

“Beliau juga telah melanggar kebebasan hak asasi yang diperuntukkan kepada setiap warganegara Malaysia.

“Ini akan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan ramai lagi agar tidak mengulangi kesalahan itu di media sosial kerana ia mengganggu keharmonian dan perpaduan negara ini,” katanya.

Hakim Nor Hasniah kemudian memerintahkan denda RM8,000 atau penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar.

(Visited 512 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button