Nasional

Lapor segera jenayah ‘Scammer Haji’ – Raja Muda

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah meminta mereka yang menjadi mangsa atau sesiapa sahaja yang mengetahui sebarang isu penipuan pakej haji agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Titah baginda, mereka yang menipu atau boleh digelar sebagai ‘scammer haji’ perlu dibawa ke muka pengadilan agar tiada lagi yang akan terpedaya dengan penipuan atas nama agama seumpama ini’.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih sebagai anak kariah Masjid Al Jabal A’la, Kampung Melayu, Kaki Bukit melalui amilnya Jamil Che Mat. Masing-masing menerima RM700.

Penyampaian tersebut diadakan di Gua Kelam Chalet yang baru mula beroperasi beberapa minggu yang lalu di No 368 Belakang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kaki Bukit.

Baginda bersama-sama anakanda kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail diiringi pemiliknya Lim Poh Leng dan Pengurus Chalet, Ginny Lim turut meluangkan masa meninjau segala fasiliti di resort tersebut yang mempunyai 17 buah bilik.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, selepas dua tahun tertangguhnya ibadah haji di Tanah Suci Makkah akibat pandemik Covid-19, pada tahun ini dengan izin serta limpah kurnia Allah juga, ibadah haji telah dibenarkan semula bagi rakyat Malaysia amnya dan khususnya rakyat Negeri Perlis yang dikasihi.

Baginda rasa dukacita dengan apa yang berlaku ke atas sekumpulan ratusan bakal haji yang difahamkan telah ditipu oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.

Laporan media melaporkan ratusan bakal haji berkenaan telah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai 2022 baru-baru ini kerana ‘ditipu’ oleh sindiket pakej haji visa furada.

Menurut laporan juga, sebahagian besar di kalangan mereka telah membayar puluhan ribu ringgit dan tidak ada jaminan wang akan dikembalikan.

“Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang mempromosikan pakej haji furada yang belum tentu ada jaminan untuk sampai ke Tanah Suci.

Tawaran menarik dengan peluang cepat tanpa menunggu giliran seringkali menjadi faktor utama bakal haji mudah percaya,” tegas Baginda. – SM

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button