Nasional

Hidup perlu diteruskan dalam norma baharu – Raja Muda Perlis

‘Hidup perlu diteruskan, namun di dalam norma baharu dan pematuhan SOP. Jika setiap orang daripada kita menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti yang dinasihatkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), insya-Allah negeri Perlis dan rakyatnya pasti terselamat dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19’.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena kempen ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ menurut hebahan media yang disiarkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis hari ini.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis mengingatkan bahawa melalui kawalan kendiri dan pematuhan SOP yang ketat, rakyat Perlis masih mampu menjalani hidup yang baik dalam suasana pandemik ini. Dapatkanlah rawatan segera jika bergejala dan tidak sihat kerana kita wajib menjaga diri sendiri dan keluarga kita tersayang.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Walaupun kadar jangkitan meningkat ketika ini, namun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara besar-besaran diharap berupaya mengurangkan kemasukan ke hospital ataupun kematian’.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim berkongsi maklumat bahawa data terkini di peringkat kebangsaan mahupun Perlis, menunjukkan bahawa kurang 5% kes Covid-19 mengalami tahap yang teruk. Sebanyak 75.8% orang dewasa di Perlis sudahpun memperoleh dos pertama vaksin dan 59.9% telah selesai dos kedua. Oleh itu, lebih banyak perlindungan terutamanya kepada jangkitan yang teruk dapat diperolehi oleh rakyat Perlis. Namun, bagi yang telah lengkap mendapat suntikan, janganlah kita lalai atau merasa kebal lantas mengabaikan terus SOP yang ditetapkan kerana kita masih boleh dijangkiti Covid-19.

Untuk rekod, Perlis, Sarawak dan Labuan telahpun beralih ke Fasa 3 PPN dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial. Ini memberikan lebih banyak cabaran dalam mengimbangi keperluan rakyat untuk terus hidup dan dalam masa yang sama perlu mengekang penularan jangkitan Covid-19.

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button