Nasional

Tutup segera kilang haram, bukan tunggu hujung tahun

TINDAKAN Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberi peluang kepada kilang haram hingga hujung tahun menimbulkan kekhuatiran.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan, mempersoalkan mengapa Kerajaan Negeri Selangor perlu menunggu sehingga hujung tahun tanpa mengambil kira pengajaran krisis air yang berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur akibat pencemaran sungai yang didalangi oleh kilang haram.

“Setelah perit yang dilalui, mengapa tidak tindakan tegas diambil sekarang? Ini bukan kes penjaja kecil yang hendak cuba dibantu ke arah pemutihan atas pertimbangan ehsan dan membantu ekonomi mikro penjaja. Ini kilang haram.

“Yang mana di kalangan mereka mencemar sungai dan mengganggu bekalan air, menyebabkan pelbagai kesusahan dan kerugian kepada rakyat,” kata Shahril.

Tambah mengejutkan menurut Shahril, apabila Amirudin sendiri mengesahkan bahawa kilang haram berkenaan telah beroperasi pada 2008.

Malah Amiruddin sendiri mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sudah memberi tawaran untuk kilang berkenaan melakukan pemutihan 12 tahun lalu.

Shahrir turut mempersoalkan kenyataan Amiruddin yang memberitahu media jika keadaan mendesak dan Kerajaan Negeri boleh melaksanakan pemutihan dengan lebih pantas iaitu menjelang bulan November atau Disember ini, ataupun awal tahun depan.

“Kalau keadaan mendesak?? 1.2 juta akaun pengguna air terkesan teruk hanya beberapa hari lalu disebabkan akitiviti kilang yang tidak dipantau, walaupun ada sejarah pencemaran. Tak cukupkah bukti betapa mendesaknya isu pencemaran dan gangguan ini??

“Rakyat mahukan tindakan. Kerajaan negeri ada banyak kuasa sepertimana yang disebut dalam posting sebelum ini. Jangan tunggu ada krisis sekali lagi baru nak kelam kabut. Sudah 12 tahun diberi peluang kepada kilang haram. Hendak bagi berapa tahun lagi?” kata Shahril.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Amirudin berkata jika masih ada mereka yang ingkar berbuat demikian dalam tempoh itu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.

“Kami sudah beri tawaran untuk mereka (pemilik tanah dan kilang haram) pulihkan (jalankan proses pemutihan) sejak tahun 2008 lagi. Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir pada 2018 memutuskan agar tindakan itu dipanjangkan sehingga 2020. Lepas 2020 kami akan ambil tindakan perobohan dan sebagainya,” kata Amiruddin kepada media.

Penduduk Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air selama seminggu bermula 3 September gara-gara sebuah kilang haram membuang bahan kimia ke dalam Sungai Gong yang menjadi punca air di negeri itu.

Kejadian tersebut bukan kali pertama dilakukan kilang haram berkenaan yang sebelum ini telahpun didenda RM60,000 pada bulan Mac kerana melakukan kesalahan yang sama yang turut menyebabkan bekalan air kepada penduduk terjejas.

Kilang haram yang melakukan pembaikan dan penyelenggaraan mesin berat itu masih terus beroperasi walaupun pihak berkuasa Negeri Selangor mengetahui kewujudan kilang berkenaan.-SM

 

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button