Nasional

Transasi pandemik ke endemik – lakukan dengan yakin dan berani

TRANSISI dari tahap pandemik ke endemik Covid-19 bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik. Demikian catatan Pengerusi PEMULIH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam media sosial Facebooknya siang tadi.

Menurut Muhyiddin lagi, rakyat perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada walaupun kadar vaksinasi adalah tinggi dan negara pula akan memasuki tahap endemik tidak lama lagi kerana virus Covid-19 telah lama berada dalam komuniti.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, “Kita perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat.

“Justeru semua pihak harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri dan kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus di sektor-sektor yang dilonggarkan,” katanya.

Katanya lagi, kita sudah pun melangkah ke bulan Oktober dan sudah tiada negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan majoriti negeri berada di Fasa 2 dan 3 PPN manakala Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan sudah pun di Fasa 4.

Sehingga semalam (2 Oktober 2021) 87.2 peratus populasi dewasa telah menerima suntikan dos lengkap, lebih awal daripada jangkaan hasil usaha pelbagai pihak terlibat dalam menjayakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita juga semakin menghampiri 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi. Sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri selepas kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus,” catat Muhyiddin.

Berkat usaha dan perancangan yang cekap oleh kerajaan bermula Mei lepas termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif, Muhyiddin berkata, selain mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam, bilangan kes positif telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan.

“Semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti dengan teruk oleh virus Covid-19.

“Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang. Ini mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat kita kembali menjalani kehidupan norma baharu.

“Sudah semestinya, semua ini dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan negara.

“Marilah kita terus berusaha untuk kembali ke ke kehidupan norma baharu dengan yakin dan berani. Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudah untuk kebaikan bersama #KeluargaMalaysia,” katanya. – SM

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button