Ekonomi

Pengurusan Giant Malaysia bertukar tangan

DFI Group telah meterai perjanjian bersama syarikat tempatan terkemuka yang diketuai oleh ahli perniagaan dan usahawan tempatan Datuk Andrew Lim untuk mengambil alih keseluruhan perniagaan makanan DFI di Malaysia termasuk jenama ikonik, Giant. Peralihan dan proses anjakan dijangka selesai pada awal Mac depan.

Dalam satu kenyataan rasmi DF Retail Group, Andrew yang mempunyai rekod pengalaman yang luas dan dikenali dengan kejayaannya dalam kepimpinan runcit dan juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan SOGO Department Store Sdn Bhd, serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan GAMA yang memiliki dan mengendalikan jenama ikonik GAMA Supermarket & Departmental Store di Pulau Pinang yakin dapat berkongsi kepercayaan untuk memberi fokus dalam meyampaikan kualiti perkhimatan kepada pelaggan.

“DFI yakin pemilik tempatan berpengalaman seperti Datuk Lim akan memberi manfaat serta perubahan positif kepada pelanggan dan kakitangan Giant, Cold Storage dan Mercato.

“Perkembangan positif ini sudah pasti akan menjana pertumbuhan masa depan berdasarkan pengetahuan pasaran yang mendalam, pelaburan jenama dan kekuatan daya saing untuk membentuk landasan kukuh” katanya dalam kenyataan tersebut.

Untuk kesemua pekerja Giant, Cold Storage dan Mercato seramai 2,500 orang dikekalkan dan DFI juga mengucapkan terima kasih ke atas kesemua kakitangan yang menyokong bahkan selepas ini mereka akan menerima manfaat yang baik di bawah kepimpinan Andrew.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DFI Retail Group Asia Tenggara, Chris Bush berkata, syarikat itu yakin dengan kepimpinan syarikat tempatan terbabit menerajui kejayaan masa depan perniagaan makanan.

“Kami amat gembira apabila dapat memastikan perolehan perniagaan makanan ini diberi kepada sebuah syarikat tempatan yang dihormati serta berjaya dengan mengekalkan kakitangan berdedikasi syarikat di mana ia menyediakan peluang pertumbuhan kerjaya untuk kakitangan dan meningkatkan daya saing, perkhidmatan serta memberi nilai yang lebih besar untuk pelanggan di Malaysia.

“Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap kejayaan masa depan perniagaan makanan di bawah kepimpinan baru dan mendoakan yang terbaik kepada pemilik baharu serta semua rakan sekerja kami di masa hadapan,” katanya.

Berbalik kepada Andrew, beliau akan berusaha untuk meningkatkan nilai bagi rakaian jenama runcit.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada DFI Retail Group kerana memberi kepercayaan serta amanah kepada kami memajukan lagi jenama runcit terkenal di Malaysia ini.

“Kami bersama-sama dengan 2,500 rakan serta teman sekerja yang baru ini akan berusaha sebaik mungkin untuk menambah nilai dan meningkatkan ekuiti jenama Cold Storage, TMC, Giant dan Mercato di Malaysia.

“DFI kekal komited terhadap perniagaan runcit di Malaysia dengan mempertajamkan fokus strategik kepada perniagaan kesihatan dan kecantikan yang kini berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata, DFI Group akan terus memiliki dan mengendalikan sepenuhnya kedai Guardian Health and Beauty yang menyandang tempat pertama dalam undian oleh pelanggan Malaysia pada 2022.

DFI merancang pertumbuhan pesat Guardian Malaysia dengan jangkaan penambahan rangkaian kedai (kini melebihi 500) serta penambahan ratusan pekerjaan dalam tempoh dua tahun ini, katanya.

Chris Bush pula berkata, DFI Group kekal komited terhadap perniagaan di Malaysia dengan fokus kepada pengukuhan perniagaan Guardian Malaysia.

“Peralihan ini akan membolehkan DFI Group menumpukan perhatian eksklusif kepada pengembangan perniagaan Guardian di Malaysia. “Kami memang teruja dengan peluang untuk memajukan Guardian dengan lebih pesat disokong dengan penambahan cawangan yang ketara, penambahbaikan kedai dan peningkatan tawaran kepada pelanggan.

“Langkah ini akan membolehkan kami memberi impak yang lebih besar kepada pelanggan sambil membina kekuatan runcit kami dalam memberi kecemerlangan kepada pelanggan setiap hari,” katanya. – SM

(Visited 6,474 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button