Nasional

Ibu bersama bayi lapan bulan maut dalam kemalangan

SEORANG wanita dan bayi perempuannya maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lori treler dan tiga kenderaan lain di KM160.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bandar Cassia, Nibong Tebal tengah malam tadi.

Mangsa yang maut Siti Khadijah Haron, 33, dan bayi perempuannya Nur Qaireen Marissa Nor Azry, berusia lapan bulan selepas kereta Proton Waja dipandu suami wanita itu, Nor Azry Mohd Rosdin, 34, dilanggar sebuah treler sebelum terperosok di belakang sebuah treler lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira 12.30 tengah malam membabitkan enam kenderaan termasuk dua lori treler sehingga menyebabkan dua penumpang belakang kereta Proton Waja maut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori treler dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta jenis Volvo dan kereta Proton Waja sehingga terperosok ke belakang sebuah treler lain.

“Lori treler yang hilang kawalan itu terus melanggar tiga lagi kereta yang terdapat di laluan tersebut. Dua pemandu lori treler itu tidak mengalami kecederaan manakala empat lagi pemandu kereta hanya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.

Shafee berkata kereta Proton Waja yang terperosok di belakang treler itu mengalami kerosakan teruk dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu dinaiki lima orang dan dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta dada.

Pemandu dan dua penumpang iaitu seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan dipercayai anak pasangan suami isteri tersebut hanya mengalami kecederaan ringan, katanya.

“Mayat ibu dan anak itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan sepanjang enam kilometer arah ke selatan dan pihak lebuh raya terpaksa melencongkan kenderaan di KM151 serta pembukaan laluan kontra di KM160.1 sehingga KM163.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menggunakan rescue tool dan bantuan sebuah kren untuk membawa keluar mayat dua beranak yang tersepit di tempat penumpang belakang itu.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit itu berjaya dikeluarkan dari kereta pada 4.14 pagi sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya. – BERNAMA

(Visited 426 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button