Nasional

VIP tolonglah jangan remehkan rule of law

KOMENTAR

SYABAS buat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak akan berkompromi terhadap pelanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari kalangan orang kenamaan (VIP).

Konsep benar atau salah semacam tidak lagi menjadi panduan. Yang dipentingkan ialah norma populariti berterusan.

Jangan diremehkan rule of law atau keluhuran undang-undang. Ia satu-satunya kriteria hidup.

Menggalakkan pelanggaran rule of law seperti mana sebilangan insiden yang terjadi semasa kerajaan terdahulu sebagai cara hidup, melemahkan tekad penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia sekali gus melemahkan sistem dan pentadbiran keadilan di negara ini.

Diakui, antara undang-undang dan penguatkuasaan sering berlaku pertikaian dan masalah pelaksanaan kerana antara undang-undang dan penguatkuasaan tidak selari.

Sesuatu perbuatan itu jelas melanggar undang-undang tetapi rakyat tampak perbuatan itu lepas begitu sahaja.

Dalam kemelut seperti inilah perlu dipersoalkan: Apa akan jadi bila undang-undang tidak dikuatkuasakan, atau jika dikuatkuasakan, tidak dikuatkuasakan sepenuhnya?

Apakah akibatnya bila rakyat merasai bahawa kuat kuasa undang-undang itu sudah tidak dirasai lagi? Akan selamatkah mereka daripada keadaan yang kacau-bilau? Kenapakah hukuman tidak setimpal dengan kesalahan?

Bila undang-undang sudah berada di tahap `lebih kurang’ dari segi penguatkuasaan, sesebuah negara itu boleh dikatakan sudah berada dalam keadaan hubaya-hubaya sekalipun belum dalam keadaan bahaya.

Perasaan peribadi atau kumpulan tidak boleh dijadikan asas perhitungan bila berhadapan dengan tuntutan keamanan dan kesejahteraan umum.

Jadikan amalan wajib meneladani dan menghormati Perlembagaan negara dan tuntutan rule of law – satu-satunya istilah yang kerap disalah mengerti oleh masyarakat.

Bagi kerajaan Perikatan Nasional yang berkuasa kini, isu keluhuran undang-undang yang amat perlu disebarluas ialah pengertian keluhuran undang-undang itu sendiri yang membawa prinsip ‘perimbangan hak’ dan ‘perimbangan kuasa undang-undang’.

Generasi kini dan mendatang jangan dikelirukan.

Malaysia jika hendak selamat di musim mencabar ini mesti meneladani mereka yang tegas dan menghormati undang-undang.

Jangan kita sampai seperti ke tahap yang dikatakan perbilangan silam: ‘Berundang-undang mahir, bila bicara kalah.’’ – SM

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button