Nasional

KKM tubuh jawatankuasa khas tangani isu doktor kontrak

JEMAAH Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (High Level Committee) bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, jawatankuasa itu turut melibatkan gabungan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Isu ini telah dibincangkan di mesyuarat Kabinet pada 31 Mac 2023 yang akhirnya bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi.

“Ia gabungan beberapa kementerian dan agensi termasuk KSN bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak yang menjadi topik hangat banyak pihak sama ada di media sosial mahupun media arus perdana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyedari terdapat berita tular menerusi media sosial mengenai jemputan penganjuran mogok dalam kalangan doktor kontrak akan diadakan pada 3 hingga 5 April ini.

Menurut beliau, KKM berpandangan, mogok bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap apa juga permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.

“Perkhidmatan kesihatan adalah suatu perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata, KKM tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok yang bakal diadakan.

Sementara itu, Zaliha berkata, KKM telah mengambil tindakan terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan.

“Antaranya adalah mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

“Skim kesihatan yang lain juga diambil peduli dan ditambah baik,” katanya.

Sebelum ini, satu kumpulan yang dikenali sebagai “Mogok Doktor Malaysia” memaklumkan, kira-kira 8,000 doktor kontrak bercadang menyertai mogok yang akan diadakan bulan ini.

Kumpulan itu juga mengancam pekerja kesihatan boleh bertindak meletak jawatan secara beramai-ramai. – SM

BACA Majoriti takut jumpa Doktor gigi

BACA Dua Doktor Malaysia berjaya terima pengiktirafan sebagai Wikipedia Korporat Manusia

 

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button