Mahkamah

Ibu abai tiga anak kandung berdepan hukuman penjara 10 tahun

Seorang ibu yang mengabaikan tiga anak kandungnya selama empat bulan berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini atas dua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh Masanizah Roslan, 40, yang kini sedang hamil tiga bulan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia yang bekerja sebagai pembantu am sekolah didakwa dengan cuai meninggalkan anak kandungnya selama empat bulan yang mana tindakan itu mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Sewaktu kejadian tiga anak tertuduh berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana, dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Mei sehingga 23 September 2021.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang kemudiannya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan itu dapat dikurangkan dengan alasan sedang hamil tiga bulan dan masih perlu menanggung tiga anaknya dengan gaji bulanan yang kecil.

Difahamkan, ketiga-tiga anak tersebut merupakan hasil perkahwinan pertamanya dan kesemua mereka kini dijaga oleh ibu saudara kepada bekas suaminya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 September depan bagi serahan dokumen. – SM

(Visited 821 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button