fbpx
Nasional

Ibadah haji rakyat Malaysia tahun ini ditangguhkan

IBADAH haji tahun ini ditangguhkan bagi semua umat Islam di Malaysia.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 9 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  berkata, keputusan tersebut telah mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Zulkifli, beliau telah menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah haji bagi Malaysia kepada Duta Arab Saudi ke Malaysia untuk disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi
Dr. Mohammed Saleh bin Taher Banten.

“Saya mengharapkan semua bakal haji untuk bersabar dan redha dengan keputusan ini. Sehubungan itu, TH akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan soalan lazim (FAQ) berkaitan urusan penangguhan ibadat haji bagi Musim Haji 1441H sejurus selepas sidang media ini.


“Saya juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini sepenuhnya dan memelihara dua Kota Suci Makkah dan Madinah dari sebarang perkara yang tidak diingini,” kata Dr. Zukkifli.

Selain Malaysia, antara negara-negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah Haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei.

Menurut Zulkifli, Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Raja Salman Abdulaziz atas usaha gigih membendung penularan jangkitan Covid-19 di Tanah Suci.

“Kami amat menghargai segala pengorbanan Kerajaan Arab Saudi dan wira-wira barisan hadapan mereka yang masih bertungkus-lumus dan berterusan memerangi wabak ini khususnya di dua buah Kota Suci yang dicintai seluruh umat Islam,” kata Zulkifli.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button