Nasional

Hubungan Malaysia – Jepun dinaik taraf kepada perkongsian Strategik Komprehensif

PERDANA Menteri Jepun, Funio Kishida bersetuju untuk menaik taraf hubungan Malaysia – Jepun daripada Perkongsian Strategik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Perkara itu dipersetujui ketika Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke Tokyo bagi Lawatan Kerja Rasmi Delegasi Malaysia ke Jepun selama lima hari.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha menaik taraf hubungan tersebut merupakan satu indikasi terhadap keyakinan.

“Mereka (Jepun) meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Kerajaan Malaysia yang dipimipin Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


“Tahniah juga diucapkan kerana kehadiran Perdana Menteri di Tokyo, pelabur-pelabur asing turut bersetuju untuk memulakan pelaburan di Malaysia dengan segera,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas kejayaan-kejayaan yang dipersetujui dalam Lawatan Kerja Rasmi Delegasi Malaysia ke Jepun oleh Perdana Menteri.

Bagi Abdul Rahman, limpahan kemasukan pelabur asing kelak mampu menyumbang kepada wujudnya peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada negara.

“Bagi memastikan keseimbangan ekonomi bandar dan luar bandar, satu pelan strategi terbaik akan dirangka bagi memastikan masyarakat luar bandar juga mendapat manfaat daripada pelaburan ini.

“Faktor pendidikan, kemahiran, kesamaan ruang serta peluang perlu di titikberatkan dalam usaha menangani cabaran ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam kenyataan itu, strategi yang lebih terperinci akan dirangka bagi membolehkan Keluarga Malaysia secara keseluruhannya turut merasai pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang dalam negara.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana dalam Persidangan Nikkei ke-27, beliau dengan tegas menyuarakan pendirian mengenai peperangan Rusia-Ukraine yang memberi kesan kepada negara-negara miskin.

“Impak rantaian turut dirasai oleh Malaysia kerana ia akan menjejaskan bekalan makanan. Pendirian Kerajaan Malaysia jelas bahawa peperangan bukanlah satu jalan penyelesaian tetapi perlu diselesaikan secara damai melalui meja rundingan.

“Perdana Menteri juga turut menyatakan pendirian mengenai Laut China Selatan kekal sebagai Zon Dagangan Bebas namun sebarang pencerobohan tidak dibenarkan. Tiada kompromi dalam isu Kedaulatan Negara,” tegasnya.

 

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button