Politik

Hubungan antarabangsa Malaysia menonjol tapi vaksin ‘terkebelakang’

MALAYSIA kelihatan ketinggalan dalam perolehan vaksin Covid-19 sedangkan negara lain seperti Singapura dan Indonesia telahpun menerimanya.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu hairan Malaysia masih tidak memperoleh bekalan vaksin memandangkan negara ini amat menonjol dalam hubungan antarabangsa.

“Namun Malaysia agak terkebelakang. Ketika negara negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, bahkan negara negara Afrika seperti Mesir telah menerima Vaksin, Malaysia belum ada khabar berita. Sedangkan Parlimen telah meluluskan berbilion ringgit untuk pembelian vaksin sejak tahun lalu.

“Ia amat menghairankan, sedangkan Malaysia lebih menonjol dalam hubungan antarabangsa, tetapi dalam keadaan sekarang kita nampaknya ketinggalan. Januari hampir berlalu, Februari akan tiba. Tetapi vaksin belum ada kepastian tarikh akan tiba untuk kegunaan rakyat Malaysia,” kata Mohamad.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian kerana bimbang dengan keadaan ekonomi negara yang didakwanya semakin parah.

Mohamad mendakwa sebuah hotel bertaraf lima bintang di Pulau Pinang telah mengeluarkan notis akan menutup operasi pada Mac 2021.

Tambah beliau, perniagaan kecil dan sederhana pula berhempas pulas untuk terus beroperasi namun kerajaan seolah-olah tidak mampu meyakinkan rakyat bagi menghadapi situasi pandemik.

“Ia petanda sektor perniagaan di negara kita semakin runcing kerana hotel hotel ini biasanya digunakan oleh kelompok ini untuk mengadakan sebarang program, pertemuan dan sebagainya.

“Keadaan pandemik Covid-19 ini semakin membarah. Keyakinan rakyat kepada kerajaan semakin terhakis. Oleh itu, salah satu usaha untuk meredakan pandemik ini adalah dengan melalui Vaksin,” kata Mohamad.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan hanya akan memberikan vaksin Covid-19 kepada rakyat selepas dipastikan vaksin tersebut benar-benar tidak mendatangkan mudarat kepada pengguna.

Vaksin itu perlu mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diberikan kepada rakyat.

Menurut Dr Noor Hisham, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi masa antara tiga dan empat bulan untuk melihat keberkesanan vaksin tersebut terhadap pengguna di negara-negara yang telah menjalankan program vaksinasi lebih awal.

Katanya, program vaksinasi Covid di Malaysia akan melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama dijangka bermula pada Mac ini melibatkan setengah juta vaksin untuk petugas barisan hadapan.-SM

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button