Nasional

HRD Corp tawar RM70,000 menerusi Peraduan Mencipta Kandungan Latihan Kemahiran

Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menganjurkan Peraduan Mencipta Kandungan Latihan Kemahiran untuk platform pembelajaran dalam taliannya, e-LATiH.

Dengan memfokuskan kepada pembangunan kandungan latihan kemahiran dalam Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, pertandingan ini bertujuan untuk menyokong pembangunan kursus yang lebih dinamik dalam pelbagai bahasa bagi e-LATiH untuk jangka masa panjang.

Peraduan tersebut terbahagi kepada dua kategori utama; kategori Am dan kategori Profesional.

Untuk kategori Am, penyertaan dibuka kepada warga Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas, manakala bagi kategori Profesional, penyertaan dibuka kepada mereka yang mempunyai kemahiran pedagogi dan mempunyai pengalaman mengajar atau menjalankan latihan seperti warga pendidik termasuk pensyarah atau pelatih bertauliah.

Peserta kategori profesional dikehendaki melampirkan bukti kelayakan akademik dan profesional mereka semasa menghantar penyertaan.


Peserta boleh memilih untuk menghantar kandungan pembelajaran kendiri dalam Bahasa Melayu, Tamil atau Mandarin.

Pertandingan ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia, kecuali pekerja HRD Corp dan ahli keluarga mereka. Pekerja dan ahli keluarga syarikat berkaitan dengan HRD Corp, termasuk penaja peraduan juga adalah tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, e-LATiH sangat bersesuaian dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang bertujuan memastikan rakyat Malaysia dapat menyerap transformasi digital secara holistik.

“Upskilling dan reskilling melalui platform pembelajaran secara dalam talian amat penting dalam usaha kita untuk mencapai matlamat ini.

“Selain itu, sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan budaya seperti Malaysia, adalah penting untuk kita memberikan peluang kepada rakyat untuk menguasai kemahiran dalam bahasa ibunda atau bahasa pilihan masing-masing.

“Oleh itu, saya berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang menghantar penyertaan mereka dan membantu masyarakat belajar,” katanya dalam sidang media di Wisma HRD Corp di sini hari ini.

Dari kiri Datuk Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp; Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia; Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia; Datuk Seri Jamil Salleh, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp; dan Datuk Ariff Farhan Doss, Ketua Pegawai Operasi HRD Corp.

Peserta perlu mereka modul pembelajaran kendiri dalam bentuk video, dengan tempoh minimum satu jam.

Penyertaan tersebut juga harus dilengkapi dengan penilaian dan bahan pembelajaran tambahan. Tajuk kursus mestilah ringkas, jelas dan menggambarkan objektif pertandingan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata, sejak diperkenalkan pada Februari, e-LATiH telah menarik lebih daripada 146,000 peserta berdaftar dan mencatat hampir 360,000 kemasukkan di semua kursus. Kejayaan ini telah mendorong HRD Corp untuk terus mengembangkan platform tersebut menerusi pelbagai cara.

“Kami amat berbanggga dengan e-LATiH serta impak yang dibawakan terhadap landskap latihan dan pembangunan Malaysia dalam tempoh lapan bulan ini. Pada masa ini, sebahagian besar kursus yang ditawarkan di e-LATiH adalah dalam Bahasa Inggeris.

“Untuk menjadikannya lebih baik, kami merasakan adalah amat penting untuk menawarkan kursus
latihan dalam ketiga-tiga bahasa pertuturan utama di Negara kita. Ini akan memastikan kandungan yang ditawarkan dalam e-LATiH lebih dinamik dan pelbagai.

“Saya berharap peraduan ini akan menerima penyertaan dengan kandungan yang hebat, seterusnya
menjadikan e-LATiH sebagai pemain utama dalam landskap latihan dan pembangunan Malaysia untuk jangka panjang,” ujarnya.

Hadiah wang tunai sejumlah RM70,000 akan ditawarkan menerusi peraduan ini.

Ini termasuk hadiah kategori Am iaitu RM3,000 untuk tempat pertama, RM2,000 untuk tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga. Bagi kategori Profesional pula, peserta berpeluang memenangi wang tunai sejumlah RM5,000 untuk tempat pertama, RM4,000 untuk tempat kedua, RM3,000 tempat ketiga, RM1,500 tempat keempat dan RM550 tempat kelima.

Peraduan ini dibuka bermula 11 Oktober sehingga 10 November 2021. Rakyat Malaysia yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau menghantar penyertaan boleh melakukannya di https://elatih.hrdcorp.gov.my/content-competition/. -SM

(Visited 441 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button