Politik

SPR benarkan calon berkempen hingga 12 tengah malam

BOLEH berkempen sampai pukul 12 tengah malam. Itu prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut SPR dalam satu kenyataannya hari ini, pindaan SOP terkini itu adalah berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pencegahan Covid-19 terkini bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 berdasarkan Pindaan dan tambahan kepada SOP tersebut adalah seperti berikut:

“a. Ceramah/syarahan/kempen dibenarkan diadakan di dalam dan di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi.

“b. Jumlah kehadiran ceramah/syarahan/kempen tidak melebihi 100 orang atau 50% kapasiti ruang mengikut mana yang terendah bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu (1) meter di antara satu sama lain dan memakai pelitup muka. Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta.

“c. Ceramah/syarahan yang diadakan TIDAK BOLEH melebihi jam 12 tengah malam dan ceramah/syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah TIDAK DIBENARKAN,” menurut kenyataan tersebut.

Kata SPR lagi, pindaan dan tambahan pada SOP Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 berkuatkuasa serta merta.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan Covid-19 tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Katanya lagi, makluman berkenaan pindaan dan tambahan SOP Pencegahan COVID-19 boleh dirujuk portal spr.gov.my. – SM

(Visited 317 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button