Nasional

Dasar pembangunan bandar raya perlu rangka strategi daya tahan – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah, amalan dan dasar pembangunan bandar raya di seluruh negara perlu merangkumi strategi baharu dengan menitikberatkan elemen kesiagaan serta daya tahan.

Titah Seri Paduka, langkah itu perlu dalam menghadapi sebarang kejutan pada masa hadapan sama ada bencana alam mahu pun krisis ekonomi serta pandemik.

“Justeru bandar raya di Malaysia hendaklah mempunyai daya ketahanan ataupun resillence yang tinggi bagi menghadapi apa jua kemungkinan,” titah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021 di Istana Negara.

Bagi mencapai maksud tersebut, Yang di-Pertuan Agong bertitah, adalah wajar kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti persekitaran, menggubal strategi pengurusan kepadatan penduduk yang mampan dan menitik berat pengurusan perbandaran dinamik melalui integrasi antara semua negeri.

Titah Al-Sultan Abdullah, penggunaan teknologi pintar turut berupaya memberi kesinambungan kepada infrastruktur kritikal semasa berhadapan bencana dan krisis.

Seri Paduka bertitah, bandar raya di seluruh dunia juga telah mempelajari akan risiko penularan virus dalam ruangan tertutup dan sempit.

Justeru titah baginda, pejabat dan bangunan pada masa hadapan perlu direka cipta dengan menerapkan elemen cara hidup yang lebih selamat, kondusif dan praktikal.

“Natijahnya, setiap krisis yang dihadapi akan berupaya melemahkan daya tahan ekonomi dan fabrik sosial sebuah bandar raya.

“Justeru negara memerlukan peurbahan dan pendekatan yang realistik serta proaktif bagi menangani impak yang sedang dihadapi dan juga persediaan untuk hari-hari mendatang,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Pduka turut menyambut baik usaha kerajaan merangka pelan struktur baharu bagi bandar raya Kuala Lumpur dengan visi untuk menjadikan ibu kota itu sebagai ‘Bandar Untuk Semua’.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda turut mengingatkan setiap rakyat di negara ini agar sentiasa berusaha membuat amal sesama manusia serta berbakti kepada masyarakat dan negara dengan sepenuh keikhlasan hati.

Titah Seri Paduka, sikap berbuat baik dan menabur khidmat bakti kepada negara tanpa mengharapkan pujian atau balasan duniawi adalah menjadi tuntutan setiap agama di dunia ini.

“Tanpa sikap ini, negara akan porak-peranda bukan kerana angkara musuh durjana tetapi adalah kerana sikap kita yang asyik bertelingkah sesama kita untuk merebut tempat dan pangkat serta gagal untuk berbakti serta mencurahkan kesetiaan setulus hati kepada negara tanah tumpahnya darah kita,” titah Al-Sultan Abdullah. – BERNAMA

 

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button