NasionalPolitik

Mahkamah tolak bantahan Mohd Aleef, SPR dan Pengurus Pilihan Raya

MAHKAMAH Pilihan Raya, Ayer Keroh di sini hari ini (Jumaat) menolak bantahan awal tiga responden terhadap permohonan petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh calon Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang yang memenangi PRN Melaka, Mohd. Aleef dinamakan sebagai responden pertama; Pegawai Daerah Melaka Tengah merangkap Pegawai Pengurus, Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Hakim Pilihan Raya, Datuk Azman Abdullah membuat keputusan menolak bantahan tiga responden tersebut dengan alasan perbicaraan perlu diadakan demi kepentingan awam.

Sehubungan itu katanya, hakim menetapkan perbicaraan penuh kes tersebut bermula 24 Mac hingga 22 April depan dengan kehadiran saksi-saksi.

Peguam Mohamad Ali yang Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, hakim menolak permohonan bantahan awal ketiga-tiga responden terhadap petisyen yang dikemukakan oleh Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka kerana terdapat kecacatan.

“Hasil keputusan tersebut, petisyen yang dikemukakan itu akan dibicarakan secara penuh dengan kehadiran saksi-saksi. Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 dan 25 Mac, 30 dan 31 Mac serta 18 hingga 22 April.

“Kami akan bersiap sedia untuk menyediakan saksi-saksi yang akan kami bawa dalam perbicaraan penuh itu untuk didengar seterusnya membuktikan adanya perlakuan rasuah dan juga ketidakpatuhan pada peraturan perjalanan PRN Melaka mengikut Akta Pilihan Raya 1981,” ujarnya dalam sidang akhbar di luar Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hafarizam, pihaknya akan memanggil sebanyak 30 saksi ataupun saksi yang akan disapina manakala bagi responden pertama iaitu Mohd. Aleef akan mengemukakan tiga orang saksi.Beliau menambah, bagi dua responden lagi iaitu Shamsul Ambia dan SPR masing-masing akan mengemukakan lima orang saksi.

Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November, memfailkan petisyen pilihan raya itu pada 14 Disember lalu bagi membatalkan keputusan yang memihak kepada Mohd. Aleef daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada PRN lalu, Mohd. Aleef yang mendapat 6,789 undian memenangi DUN Sungai Udang dengan majoriti 530 undi di mana Mohamad Ali memperoleh 6,259 undi; calon Pakatan Harapan (PH), Hasmorni Tamby (2,035 undi) dan calon Bebas, Mohd. Zahar Hashim (471 undi).

Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara diwakili tujuh peguam diketuai oleh Rosfinah & Co. memohon perintah mahkamah supaya kemenangan Mohd. Aleef dibatalkan dan pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kerusi berkenaan.

Selain Rosfinah dan Mohd. Hafarizam, lima lagi peguam yang mewakili Mohamad Ali ialah Mohd. Adli Ithnin, Mohd. Khairul Nizam Abdul Kadir, Wan Hamidah Wan Ismail, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman. – SM

(Visited 433 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button