Politik

Hormati Rafizi, Nurul Izzah Janji Teruskan Gagasan Reformasi

NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyatakan rasa hormat mendalam terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli, yang disifatkannya sebagai pemimpin berani, lantang dan berpegang teguh pada prinsip meskipun sering berdepan tekanan.

Dalam kenyataan terbarunya, Nurul Izzah menyifatkan Rafizi sebagai tokoh yang tidak mudah tunduk kepada kuasa dan sentiasa berjuang demi kebenaran, terutama dalam usaha memperkukuh pentadbiran dan dasar ekonomi negara.

“Beliau (Rafizi) bukan sekadar membawa retorik. Gagasan dan ideanya telah mengubah cara kita berfikir mengenai reformasi dalam sistem pentadbiran dan ekonomi. Saya akan terus memperhalusi banyak idea beliau kerana nilainya bukan pada siapa yang mencipta, tetapi pada manfaatnya kepada rakyat dan negara,” katanya.

Sebagai langkah pertama ke arah memperkukuh integriti dalam parti, Nurul Izzah akan memperkenalkan program latihan wajib kepada semua pemimpin PKR. Latihan ini akan memberi fokus terhadap kefahaman mendalam mengenai undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), pencegahan rasuah dan pematuhan cukai.

“Ini adalah isyarat jelas bahawa kita tidak akan berkompromi terhadap integriti. Setiap pemimpin harus mencerminkan perubahan yang ingin kita bawa,” tambah beliau.

Kenyataan Nurul Izzah itu dilihat sebagai tanda penghormatan terhadap peranan Rafizi dalam memperkukuh struktur parti dan juga mesej bahawa perjuangan PKR masih berlandaskan prinsip serta idealisme reformasi.

Rafizi sebelum ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi yang akan berkuat kuasa pertengahan Jun depan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button