Mahkamah

Bekas kakitangan saman Anwar dakwaan gangguan seksual

Bekas Pegawai Penyelidik Presiden PKR, Muhammed Yusoff Rawther memfailkan saman kepada ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan gangguan seksual yang dipercayai berlaku pada 2018.

Saman yang menamakan Anwar sebagai defendan difailkan bertarikh semalam (14 Julai) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Abdul Halim Ushah & Associates.

Perkara itu disahkan peguam Muhammed Yusoff, Mahajoth Singh kepada Utusan Malaysia.

Menerusi pernyataan tuntutan yang diperoleh media, Muhammed Yusoff mendakwa gangguan itu berlaku di sebuah rumah di Segambut ketika dia diminta menyerahkan teks ucapan kepada Anwar.

Plaintif mendakwa dia terpaksa menghadapi penghinaan dan ejekan masyarakat serta bahan serangan lisan di dalam kalangan pemimpin politik bersekutu dengan defendan.

Kata pernyataan itu, perkara itu berlaku sejak Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan media bahawa tiada bukti mencukupi untuk mendakwa defendan.

“Plaintif telah menerima kritikan yang kasar daripada orang awam hanya dia menuntut hak dan remedi untuk salah laku terhadapnya oleh defendan yang memimpin jentera politik secara besar-besaran di peringkat nasional dan mempunyai pakatan dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

“Selanjutnya disebab status defendan pada setiap masa material khususnya sebagai ‘the prime minister in waiting’ dan juga sebagai ikon reformasi, plaintif tidak mendapat sokongan yang sepatutnya diterima oleh mangsa serangan seksual oleh individu terkemuka.

“Plaintif dituduh secara jahat bahawa kononny beliau adalah sebahagian daripada komplot untuk menjatuhkan dan merosakkan kerjaya
politik defendan,” kata pernyataan itu.

Plaintif mendakwa gangguan terhadapnya telah memberi impak kepada kesihatan mental sehingga perlu mendapatkan bantuan profesional ahli psikologi klinikal kerana mengalami trauma.

Kata pernyataan itu, plaintif terpaksa menanggung kos sebanyak RM180 setiap sesi terapi sehingga ke hari ini kerana masih menjalaninya serta menanggung kos tersebut.

Oleh demikian, Muhammed Yusoff mohon satu deklarasi bahawa defendan melakukan serangan seksual dan melakukan pencerobohan ke atas dirinya serta berhak mendapatkan perlindungan undang-undang.

Plaintif juga membuat tuntutan antaranya ganti rugi khas pada kadar RM180 setiap terapi, ganti rugi umum, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk.

“Plaintif juga menuntut faedah pada jumlah penghakiman pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga pelupusan atau penyelesaian penuh tindakan ini,” kata pernyataan itu.

(Visited 488 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button