Nasional

Tautan wanita dengan pembangunan negara tidak boleh dikesampingkan – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pertautan antara wanita dengan pembangunan negara amat penting serta tidak boleh diketepikan.

Sumbangan wanita daripada pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik di Malaysia serta di seluruh dunia begitu dominan sekali.

Perubahan pada peranan ekonomi masa kini mempunyai kesan yang amat besar dan meluas terhadap kaum wanita yang terlibat daripada segi peranan dan fungsi sosialnya.

Wanita kini semakin cekap dan punyai wibawa serta upaya yang besar dalam memajukan ekonomi keluarga, dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi masyarakat dan negara.

Jumlah wanita yang bekerja dalam sektor professional khususnya dalam perkhidmatan awam mahupun swasta juga semakin bertambah, sesuai dengan taraf pendidikan serta komitmen tinggi demi memajukan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertajuk : “Wanita dalam Pembangunan Negara” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31, Menara Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur pada pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Ahli Pemegang Amanah YTF, Datuk Rajasekaran Murugiah.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dato Sri Mohd Shafiq Abdullah serta Ahli-Ahli Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Tan Sri Dato Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Penasihat DiRaja YTF, ‘Sistem pendidikan juga kini mengutamakan kesamarataan antara golongan wanita dan lelaki.

Hal ini dapat melonjakkan daya persaingan yang positif demi kemajuan masyarakat dan negara. Oleh itu, kaum wanita disarankan supaya terus menerus bangkit dengan wajah baharu bagi meraih hak, kedudukan dan peluang sosial yang setepatnya dalam pembangunan masyarakat dan negara’.

Tuanku Raja Muda turut menegaskan bahawa kaum wanita harus peka membuat keputusan yang selaras dengan kehendak komuniti berlandaskan perubahan minda dan gaya hidup masyarakat kini.

Aliran semasa perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat turut menuntut golongan wanita sentiasa peka dalam konteks pembangunan sosial demi kemajuan negara.

Peranan kaum wanita dalam pembangunan negara yang berteraskan lapangan ilmu dan sosial juga perlu diteliti dengan lebih menyeluruh.

Majlis penutupan seminar selama sehari berkenaan akan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah pada sebelah petangnya. – SM

GALERI FOTO

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button