NasionalTravel

Kapal layar Datuk Azhar Mansor jadi tarikan baharu di Melaka

KAPAL layar Jalur Gemilang yang dikemudi oleh Datuk Azhar Mansor apabila mencatat sejarah
sebagai rakyat Malaysia pertama mencipta rekod belayar mengelilingi dunia secara solo akan menjadi tarikan terbaharu produk pelancongan di negeri ini.

Jika tidak ada aral melintang kapal layar bernilai RM2 juta meredah lautan menggelingi dunia selama 190 hari itu akan ditempatkan berhampiran Muzium Kapal Selam di Dataran 1Malaysia Klebang dekat sini tidak lama lagi.

Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Azhar bagi mendapat keizinan daripadanya untuk membawa kapal yang penuh dengan sejarah itu ditempatkan di negeri ini.

Akramuddin Abdul Aziz.

Menurutnya, jika menjadi kenyataan kapal layar yang mengelilingi dunia selama 190 hari itu akan menjadi salah satu tarikan paling pelancongan terbaharu dalam usaha mempelbagai produk bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

“Insyallah setakat ini perbincangan dengan Azhar berjalan lancar dan nampaknya dia bersetuju tetapi masih ada beberapa perkara perlu diselesaikan.

“Lokasi untuk menempatkan kapal layar Jalur Gemilang setakat ini akan diletakan bersebelahan dengan Muzium Kapal Selam.

“Apabila ini menjadi kenyataan, rakyat Melaka khususnya berpeluang melihat dari dekat kapal layar yang melakar sejarah meredah lautan menggelilingi dunia berada di bumi Melaka,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Akramuddin berkata, kapal layar itu bakal ditempatkan untuk satu tempoh yang panjang mungkin antara dua hingga tiga tahun.

Perkara tersebut katanya, bergantung kepada persetujuan pemiliknya kerana setakat ini sebarang keputusan muktamad belum dimeterai.

Pelayaran Azhar meliputi 21,600 batu nautika bermula pada 2 Februari 1999 ketika beliau berusia 40 tahun dan selamat tiba di Awanan Porto Malai Resort, Langkawi pada 11 Ogos 1999.

Kepulangan wira negara ketika itu disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menjadi rakyat Malaysia pertama yang berjaya mengelilingi dunia secara solo dan bercadang melakukan pelayaran dalam tempoh kurang 100 hari namun beliau menghadapi masalah apabila tiang layar yang patah ketika berada di Cape Horn, Amerika Selatan.

Pada 1 Disember 1999, beliau dianugerahkan ‘Kapten Kehormat’ oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas kejayaan beliau mengelilingi dunia secara solo. – SM Melaka

(Visited 1,913 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button