Nasional

Produk Usahawan Asnaf MAIPs disumbangkan di Satun Thailand

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan sumbangan kuih raya berupa hasil ‘Produk Usahawan Asnaf MAIPs’ kepada para penduduk Pulau Panjang yang terletak di wiilayah Satun Thailand.

Sumbangan tersebut dilaksanakan rentetan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini PKP Bersyarat ekoran penularan pandemik wabak Covid-19 yang mana pihak MAIPs terpaksa mengubah kaedah pelaksanaan biasa ‘Program Ziarah Mahabbah Ramadan’ tahunannya yang terpaksa dibatalkan pada kali ini ke wilayah berkenaan.

Sumbangan tersebut dihantar hari ini melalui bot khas hasil kerjasama pihak Pejabat Gabenor wilayah Satun.

Majlis simbolik penyerahan berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs di pekarangan Galeri DiRaja Arau semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Penyelaras Program sumbangan tersebut, Datuk Zull Aznam Haron.

Menurut Mohd Nazim, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melestarikan kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara Perlis dan Wilayah Satun Thailand sejak ratusan tahun lalu.

Pelbagai program kerjasama dan inisiatif telah dilaksanakan oleh kedua belah pihak yang memberikan impak positif, selain kerjasama ini juga adalah bagi melunaskan tanggungjawab pihak penyumbang yang berhasrat menyalurkan sumbangan mereka bagi inisiatif prihatin antarabangsa melalui MAIPs.

Wilayah Satun merupakan satu daripada 76 buah wilayah di Thailand yang terletak di selatan negara ‘Gajah Putih’ tersebut. Wilayah yang bersempadanan dengan Perlis di Malaysia itu mempunyai seramai 300,000 penduduk meliputi tujuh buah mukim.

Sebagai negeri paling utara di Malaysia yang berjiran di jujuran laut Andaman, MAIPs menggalas amanah untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam dan Bahasa Melayu melalui kerjasama eratnya bersama dengan Majlis Agama Islam di 6 Wilayah Andaman Thailand.

Tambah beliau, bermula tahun 2015 lagi, pelbagai program telah dilaksanakan melibatkan wilayah Krabi, Phuket, Trang, Phang Nga dan Ranong selain Satun yang menjadi urusetia perhubungan.

Sebagai wilayah yang paling hampir dengan Perlis, Satun turut mempunyai sejarah hubungan geo-politik dan sosio-budaya antara kedua belah pihak, menjadikannya jambatan penghubung antara Malaysia dan Thailand.

MAIPs sendiri juga telah melaksanakan program ‘Ziarah Mahabbah Ramadan ke Wilayah Satun’ pada setiap tahun sejak 2014 dengan mengadakan lawatan imarah yang diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi terus mengukuhkan lagi silaturrahim antara kedua-dua belah pihak.

Zull Aznam pula menambah bahawa penyerahan sumbangan MAIPs tersebut hari ini telah dibuat oleh Tuan Imam masjid, Awang Mahmud bagi mewakili Ketua Kampung yang berada di bandar Satun atas urusan kerja. Pengagihan dibuat sejurus barangan tiba pada petang semalam kepada seramai 134 buah keluarga. Warga Pulau Panjang memanjangkan ucapan amat berterima kasih kepada pihak MAIPs di atas keprihatinan menghantar sumbangan tersebut.

Untuk rekod, MAIPs dalam program-program sebelum ini melibatkan keberangkatan baginda berdua juga telah melaksanakan ‘Program Ziarah Ramadan’ ke kawasan-kawasan lain di Satun termasuklah di Mambang, Pulau Koh Sarai Besar, Pulau Tanjung Keling, Pasir Panjang, Tanjong Po, Che Bilang dan Bagan Belacan. – SM

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button