BanjirNasional

Hujan berterusan sejak semalam, penduduk Mersing siap siaga banjir gelombang kedua

PENDUDUK daerah Mersing bersiap siaga untuk menghadapi ancaman gelombang kedua banjir ekoran hujan tanpa henti sejak malam semalam.

Pegawai Daerah Mersing Mohd. Radzi Mohd. Amin berkata persediaan itu turut melibatkan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan tentera.

Selain itu, sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir masih beroperasi ekoran cuaca yang tidak menentu, manakala empat PPS yang lain telah ditutup berikutan air banjir sudah surut di beberapa kawasan.

“Setakat pagi ini, empat PPS yang masih aktif adalah di Politeknik Mersing; Sekolah Kebangsaan (SK) Labung; SK Pusat Air Tawar, Endau dan di SK Bandar Endau yang baru dibuka petang semalam,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Mersing, di sini hari ini.

Beliau juga berkata berikutan banjir bermula Sabtu lepas, terdapat lima Kampung Orang Asli terputus hubungan iaitu Kampung Peta; Kampung Punan; Kampung Tanah Abang; Kampung Tewowoh, dan Kampung Tanjung Tuan hingga menjejaskan seramai 1,610 penduduk daripada 412 keluarga.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata penghantaran bantuan berupa keperluan asas telah disampaikan oleh pegawai Pejabat Daerah Mersing kepada penduduk di Kampung Tanjung Tuan dan Kampung Punan semalam

“Bantuan juga akan disampaikan kepada 365 penduduk di Kampung Peta hari ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar bandar Mersing mendapati keadaan lengang walaupun tiada kejadian banjir dengan kebanyakan kedai serta hotel ditutup. – BERNAMA

(Visited 271 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button