Ekonomi

‘Kiah’ nikmati, hargai Pakej PRIHATIN

GENERAI ketiga pengendali perusahaan Kiah Pekasam Enterprise sebelum ini risau memikirkan apalah nasib perniagaan keluarga yang berusia kira-kira 60 tahun di Kampung Pengkalan Ikan, Kuak, Lenggong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 yang dilaksanakan sejak 18 Mac lepas.

Mana tidaknya, menurut Yang Zaharah Ahmad Mazlan, 43, dia bukan sahaja berdepan risiko bertan-tan ikan yang disimpan di dalam kilang mini sebelah rumahnya akan rosak kerana tidak dapat diproses, malah jualan produk juga susut.

Kini, Yang Zaharah boleh menarik nafas lega kerana menyifatkan hampir 50 peratus daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bakal dinikmati antaranya kebenaran penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selama tiga bulan mulai 1 April.

“Ini pastinya melegakan saya dan begitu juga PKS lain yang tidak dinafikan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan kerana sekarang baru awal tahun, tidak tahu berapa lama lagi masalah ini. Jadi pendapatan kami juga susut,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, setiap bulan beliau dapat memasarkan lebih satu tan ikan pekasam pelbagai jenis antaranya gelama, loma, tilapia dan sepat yang dijual di beberapa pasar raya seluruh Perak selain kedai runcit, namun kini jumlah itu mungkin tidak dapat dicapai.

Selain itu, Yang Zaharah berkata faedah lain yang dinikmati oleh syarikat Kiah Pekasam Enterprise ialah pemberian diskaun berperingkat antara 15 hingga 50 peratus ke atas bil elektrik berdasarkan kadar penggunaan selain dua peratus yang diumumkan sebelum ini.

BACA:

Menurut Yang Zaharah, setiap bulan bil elektrik bagi kilang mininya adalah antara RM190 hingga RM250 dan jika menikmati diskaun serendah 15 peratus ditambah lagi dengan dua peratus beliau dapat menjimatkan lebih RM30 sebulan.

Bimbang bekalan ikan yang ada akan rosak selain enam pekerjanya akan hilang pendapatan, Yang Zaharah berkata dia membenarkan pekerja datang untuk membersihkan ikan, tetapi tetap mengutamakan langkah-langkah pencegahan jangkitan seperti memastikan jarakan sosial serta memakai penutup hidung dan mulut.

“Waktu bekerja juga tidak lama, dalam lima ke enam jam. Kami bimbang ikan yang telah diperam dengan beras akan rosak jika dibiar terlalu lama atau lebih tiga minggu diperam dengan beras,” katanya.

Sebagai majikan, beliau turut menguar-uarkan kepada pekerjanya mengenai faedah yang mereka akan dapat daripada prihatin  termasuk bayaran RM1,600 untuk isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah.

“Tinggal kampung, ada suami (pekerja) yang hanya kerja sebagai nelayan, berapalah hasilnya. Jadi, selepas semalam, saya beritahu mereka banyak boleh dapat kerana mungkin ada yang tidak faham.

Apapun, lega syukur sangat-sangat. Dia (Perdana Menteri) memang fikir apa yang orang susah ini fikir dan rasa, dia bagi adil kepada semua. Ada yang tidak dapat banyak, sikit pun syukur daripada tidak dapat langsung,” katanya. – BERNAMA

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button