Nasional

PRN Johor: Kompaun RM1,000 terhadap wartawan Sin Chew Daily dibatalkan

INI bukan sahaja melegakan sebaliknya jadikan ia satu pengajaran supaya pada masa mendatang, patuhi dan ikutlah prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh MKN tanpa mengira sama ada yang dikompaun itu bertaraf menteri atau pengamal media.

Tidak perlu mempersoalkan mengapa saya dikompaun yang lain-lain tidak dikompaun kerana kesalahan melanggar SOP tidak memilih media hebat atau kecil sebesar hama untuk dikenakan tindakan.

Apatah lagi dalam kalangan media yang setiap hari sejak pandemik Covid-19 melanda kita semua, menyiarkan laporan berkaitan pandemik tersebut serta SOP yang perlu dijadikan budaya kita semua.

Apabila melanggar SOP, jangan menyahang sebaliknya bayar sahaja denda atau kompaun yang kita tahu mencecah RM1,000.

Mujurlah Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin mengeluarkan kenyataan, wartawan akhbar berbahasa Cina tempatan yang melanggar SOP dan dikenakan kompaun semalam, hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak perlu membayarnya kerana dibatalkan kompaun yang dikenakan terhadap wartawan tersebut.

Ya, itu keputusan Khairy dan ramai yang berkata di luar sana, ada keistimewaankah wartawan berkenaan sehingga kompaun yang dikeluarkan boleh dibatalkan.

Sebenarnya bukan diberi keistimewaan sebaliknya kata Khairy, laporan dikeluarkan KKM diteliti dan ternyata bukan salah wartawan tersebut.

“Saya dah minta saman itu dibatalkan sebab saya tengok balik kepada laporan itu bukan salah dia.

“Saya beritahu penguatkuasa kalau wartawan buat kerja bagi amaran dan teguran dahulu yang adil. Kalau wartawan cari untuk temu ramah tidak payah,” katanya dalam satu sidang media di Simpang Renggam, Johor, hari ini.

Dalam masa yang sama, Khairy mengingatkan semua petugas media yang membuat liputan PRN Johor agar mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, Wartawan Sin Chew Daily, Wong Kian Yong, dikenakan kompaun oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang mendakwa dia gagal menjarakkan diri di luar Dewan Jabatan Kerja Raya.

Kian Yong berada di lokasi berkenaan untuk membuat liputan penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

Dia dikatakan telah mendekati calon yang berkenaan bagi mendapatkan perincian maklumat peribadi.

Khairy berkata, KKM telah memberi arahan kepada pegawainya untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pemimpin daripada semua parti yang melanggar SOP semasa berkempen.

Beliau berkata, tindakan hanya diambil sekiranya didapati individu terbabit menyebabkan berlaku kesalahan melanggar SOP.

“Saya dan sekretariat ada bilik gerakan di bawah kesihatan awam dan saya telah bagi arahan kepada mereka untuk keluarkan kompaun.

“Tidak kira siapa, tidak kira parti. Individu kalau didapati melanggar  SOP sebab kesalahan dia, kita keluarkan kompaun,” katanya.

Khairy juga tidak menolak jika boleh mengkompaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya kempennya di Perling, Johor, pagi tadi melanggar SOP.

“Jika didapati di dalam video melakukan kesalahan disebabkan beliau, boleh dikeluarkan kompaun,” katanya. – SM

 

 

 

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button