Nasional

Polis buru ‘Kelvin Cao’ kerana hina Islam, perkauman

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memburu pemilik akaun Facebook dikenali sebagai ‘Kelvin Cao’ kerana dipercayai menghina agama Islam dan mengeluarkan kenyataan berbaur   perkauman.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi), Datuk Mohd Roze Shaari, berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadap pemilik akaun berkenaan.

Beliau berkata siasatan dibuat sejak Isnin lepas, di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Usaha memburu suspek sedang dipergiatkan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Baru-baru ini, satu akaun Facebook menggunakan nama ‘Kelvin Cao’ dengan kenyataan menghina Islam dan berbaur perkauman tular di media sosial.

Kenyataan itu turut diselitkan dengan ayat berbaur lucah sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, sebelum ini, mengingatkan bahawa tiada lagi amaran dikeluarkan terhadap pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama, sebaliknya mereka yang terbabit akan disiasat dan ditangkap serta merta. – BERNAMA

(Visited 489 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button