Hiburan

Hijrahkan Laguku pengisian terkini program realtiti TV AlHijrah

Program bermula 20 November

SAMA ada terdesak ataupun mencari pengisian sebelum akhir tahun 2021, stesen televisyen, TV AlHijrah memperkenalkan sebuah program berbentuk pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti televisyen, Hijrahkan Laguku.

Mereka mendakwa, program ini dizahirkan setelah melihat wujudnya keperluan metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Keluarga Malaysia, peredaran zaman dan kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

“Hijrahkan Laguku adalah rancangan pertandingan hiburan Islamik yang menampilkan gabungan lapan orang penyanyi lama dan baru dalam industri hiburan tanah air yang akan menyampaikan mesej dakwah menerusi lirik lagu yang digubah hingga akhirnya salah seorang daripada mereka bergelar juara pertandingan” kata Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Beliau berkata, Hijrahkan Laguku bakal menjadi fenomena yang mampu membentuk masyarakat serta mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah.

“Simbiosis kukuh di antara manusia dan seni muzik tidak dapat dinafikan. Manusia secara fitrah mudah tertarik kepada bunyi-bunyian yang menyenangkan, lirik lagu yang mempesona serta seni persembahan yang memberi kedamaian.

“Rancangan Hijrahkan Laguku mempunyai kekuatan untuk memenuhi kehendak jiwa manusia yang sukakan kepada muzik.

“Kita tambah elemen hiburan Islamik serta wasilah dakwah kontemporari yang bertujuan menghubungkan penonton setia stesen ini dengan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, Hijrahkan Laguku akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, pukul 9 malam mulai 20 November nanti.

Mengangkat tema Journey Back To Him, Hijrahkan Laguku akan disertai oleh Dato Nash Lefthanded, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam (PG Adam), Zaf VE, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Rahmad Mega.

Pemilihan artis yang menyertai pertandingan realiti TV ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria. Antara yang utama adalah kisah penghijrahan mereka yang unik serta mampu mendorong penonton untuk menjadi khalifah Allah yang terbaik di muka bumi ini.

Turut diambil kira adalah bakat, aura, karisma serta kekuatan mereka dalam bidang nyanyian. – SM

 

(Visited 341 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button