Nasional

Hijrah ajar kepentingan sanggup berubah – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah momentum daripada peristiwa penghijrahan baginda Nabi Muhammad SAW akan dapat mempertingkatkan produktiviti ummah.

Hijrah mengajarkan kita akan kepentingan untuk sentiasa sanggup berubah ke arah melakukan yang terbaik di dalam kehidupan.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di Dewan Kuliyyah MAIPs di Behor Temak Kangar pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Abdul Mutalib.

Hadir sama ialah Pengerusi serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan MAIPs, Datuk Abdul Rauf Rashid dan Datuk Ir. Hj Wan Abdul Ghaffar Wan Ahmad.

Titah Tuanku Raja Muda lagi, sebagai contoh antara hikmah daripada penularan pandemik Covid-19 telah mengajarkan kita keperluan untuk sentiasa bersedia melakukan perubahan dalam kehidupan dengan mempraktikkan kelaziman baharu yang lebih baik, walaupun ianya agak sukar di peringkat permulaan.

“Dalam kehidupan kita, hijrah juga membawa kepada makna berubah daripada kemungkaran kepada ketakwaan, daripada kemunduran kepada kemajuan, dan juga daripada kemudharatan kepada yang lebih manfaat,” jelas baginda lagi.

Ia juga boleh dikembangkan kepada dari sikap malas kepada rajin, kotor kepada bersih serta sambil lewa kepada bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu yang dipertanggungjawabkan dan sebagainya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut dipersembahkan taklimat mengenai perancangan Pelan Strategik MAIPs 2021 – 2025 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan yang sama, baginda menitahkan ucapan Selamat Menyambut Awal Muharram 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button