Nasional

Wisma Putra usaha bawa pulang rakyat Malaysia di Sudan

KERAJAAN akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan dan membawa mereka pulang dengan selamat berikutan konflik di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis berhubung perkara itu.

Beliau berkata Wisma Putra juga telah berhubung dengan Arab Saudi, Turkiye, Qatar, UAE, China, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu proses membawa rakyat Malaysia keluar dari Sudan sebaik keadaan mengizinkan.

“Ketika ini, keadaan negara masih tegang berikutan pertempuran antara dua puak yang bertelagah yang dilaporkan masih sengit terutama di kawasan strategik di Khartoum.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum masih belum dibuka semula dan ini menyukarkan perancangan untuk membawa keluar warga asing dari pelbagai negara termasuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Konflik di Sudan yang melibatkan Tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, telah mencetuskan kekacauan politik dan mengancam keselamatan di negara itu.

Awal hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengesyorkan kerajaan bersiap sedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Sudan sekiranya konflik di negara itu meningkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan bahawa kerajaan memantau dengan teliti konflik di Sudan dan akan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di negara itu jika keadaan semasa mendatangkan risiko kepada keselamatan mereka.

Mengulas lanjut, Zambry berkata kesemua 29 rakyat Malaysia mengikut nasihat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum untuk kekal di dalam rumah.

Beliau berkata Wisma Putra telah mengaktifkan “Operasi Sudan” yang bertugas sepanjang masa sejak krisis di Sudan bermula, dan pasukan khas yang disertai oleh beberapa agensi telah membuat persiapan dan perancangan rapi untuk memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan.

“Pasukan Khas ini juga berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum berhubung kaedah paling selamat untuk membekalkan keperluan asas khususnya makanan dan ubat-ubatan kepada semua yang berada di Sudan,” katanya. -SM

 

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button