fbpx
Politik

Hentikan persepsi palsu konon UMNO akan sokong Anwar

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meminta pihak tertentu agar menghentikan persepsi kononnya UMNO akan menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pucuk kepimpinan UMNO tidak akan membuat keputusan yang boleh membelakangkan kepentingan agama, bangsa dan masyarakat.

“Cukuplah saya katakan apa jua keputusan kepimpinan tidak sesekali akan membelakangkan kepentingan Islam, Bangsa dan kebajikan rakyat keseluruhan.

“Juga hentikan andaian dan persepsi palsu kononnya UMNO akan berubah arah menyokong ANWAR yang ketika ini bersekongkol dengan DAP!” kata Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook.

(Foto: Facebook Asyraf Wajdi) Gambar makan tengahari di kediaman Asyraf Wajdi minggu lepas ketika menerima kunjungan Ketua Dewan Pemuda PAS Ts Ir Khairil Nizam dan Penolong Setiusaha Pemuda Pas Saudara Khidhir.

Beliau turut berkongsi tulisan Ahli Dewan Syura PAS Zaharudin Muhammad dan meminta agar semua pihak dapat berlapang dada dengan perkembangan politik mutakhir.


“Banyak perkara yang belum boleh diluahkan dan ditulis untuk tatapan khalayak,” kata Asyraf Wajdi.

Zaharudin yang juga menantu kepada Presiden Pas Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dalam coretannya mahu meredakan ketegangan antara ‘siber trooper PAS dan UMNO’ yang dilihat cuba menyerang antara satu sama lain ketika ini.

“Dikesempatan ini, saya ingin redakan sikit tohmahan terhadap UMNO apabila ada yang mula menuduh “UMNO dah lupa diri apabila ada kuasa sedangkan sewaktu mula-mula hilang kuasa hari tu, mereka menyondol kepada PAS untuk minta talian hayat.”

“Tohmahan ini hakikatnya ‘SALAH’ kerana UMNO telah mula bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS dalam isu-isu umat Islam sejak sebelum Pakatan Rakyat menang di Selangor dan Penang pada tahun 2008 lagi apabila masing-masing mula menyedari ancamana DAP terhadap umat Islam,” kata Zaharuddin.

Zaharuddin juga berkata, UMNO menyambut baik usaha mengekang ancaman DAP pada waktu parti itu masih di puncak kuasa dan bukannya pada waktu UMNO hilang kuasa selepas PRU14 sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan siber trooper.

Beliau turut mengingatkan, sekiranya PAS dan UMNO bertelagah yang akan rugi adalah kedua-dua parti itu dan orang Melayu.

Katanya, persengketaan itu hanya akan menguntungkan DAP yang akan menjadi penentu atau ‘King Maker’ apabila umat Islam berpecah kepada tiga parti dengan masing-masing memegang komposisi 35 peratus sahaja.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button