Politik

Henti berpolitik: Anwar ambil maklum nasihat Agong

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum nasihat Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar ahli politik berhenti daripada bermain politik.

Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata, nasihat Al-Sultan Abdullah itu wajar dihayati oleh semua ahli politik termasuk ahli Parlimen.

“Saya juga mengambil maklum nasihat Tuanku Agong agar pimpinan politik termasuk ahli- ahli Parlimen untuk tidak berlebihan berpolitik wajar dicermati dan dihayati.

“Tokoh-tokoh politik termasuk ahli-ahli parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, institusi Parlimen dan negara agar dapat diimbangi pelbagai tuntutan terkait keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” kata Anwar.

Al-Sultan Abdullah semalam menggesa ahli politik menghentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan negara.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Baginda bertitah demikian selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang membincangkan cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan penyisytiharan darurat semalam. Cadangan tersebut tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

“Saya menyambut baik serta menghargai kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta ihsan dan hemah Raja-Raja Melayu atas kenyataan, pendirian dan pandangan terkait permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri.

“Keputusan dan ketetapan bersejarah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menolak usul Perdana Menteri dan jemaah menteri untuk mengisytiharkan darurat itu jelas memperkukuh sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Ia ternyata suatu ketetapan yang berlandaskan semangat Perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan dan suara rakyat seperti yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik, masyarakat madani, tokoh-tokoh akademik dan pihak media yang bertanggungjawab yang menginginkan agar sistem demokrasi tidak dinodai,” kata Anwar.

Politik negara dan emosi rakyat terganggu sejak awal bulan lalu selepas Anwar membuat pengumuman dia memiliki sokongan yang kuat daripada ahli Parlimen untuk mengambilalih pentabiran.

Pengumuman Anwar itu mencetuskan spekulasi kononnya ada antara ahli Parlimen Perikatan Nasional akan beralih menyokong Anwar.

Media sosial turut dilimpahi komen pihak yang menyokong dan menolak Anwar sebagai perdana menteri yang berikutnya di tengah-tengah wabak Covid-19 mengila dengan bilangan mereka yang dijangkiti bertambah dan angka korban di negara ini meningkat.

Suasana tersebut meresahkan rakyat. Lebih memuncak apabila terdapat desas-desus menyatakan kerajaan akan melaksanakan darurat untuk mengekang wabak Covid-19 namun disambut secara sinis oleh pembangkang yang dilihat cuba menyekat kemaraan Anwar untuk mengambilalih kerajaan.-SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button