Sukan

KIP selamat menjalani pembedahan, kembali berlumba dua minggu lagi

PASUKAN Petronas Sprinta Racing mengesahkan pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi tidak mengalami sebarang komplikasi semasa pembedahan jari kelima tangan kanannya, semalam dan anak muda itu dijangka kembali ke trek perlumbaan di Misano, Itali, dua minggu lagi.

Jaminan terhadap tahap kesihatan pelumba berusia 21 tahun itu telah diberi oleh prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali ketika dihubungi media, hari ini.

Beliau berkata, pembedahan itu telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan dikendalikan oleh dua orang doktor pakar yang memiliki reputasi baik dalam kalangan pelumba MotoGP.

“Alhamdulillah, semalam Khairul Idham bejaya menjalani pembedahan pada jari kecil tangannya yang cedera semasa di Brno dan kecederaan lama yang dihadapinya daripada tahun lepas.

“Pembedahan itu dibuat oleh Dr. Sergei dan Dr. Merr, dua doktor pakar yang reputasi mereka agak baik, profesional kepada semua pelumba MotoGP.

“Insya-Allah Khairul Idham akan sembuh dan bersedia untuk perlumbaan di Misano dalam masa dua minggu akan datang.

“Saya ucapkan kepadanya selama maju jaya, segera sembuh dan balik kepada kejuaraan dunia dalam keadaan yang kuat dan penuh semangat,” kata Razlan.

Pelumba yang berasal dari Kampung Gajah, Perak itu telah menjalani pembedahan di Barcelona, Sepanyol yang mengambil masa selama dua jam.

Sementara itu, Khairul Idham dipetik kenyataannya menerusi laman web pasukan berkata, memang sukar terpaksa sekali lagi menjalani pembedahan jari tangan kanannya di hospital.

“Tetapi keputusan ini diambil demi masa depan saya setelah berbincang dengan pasukan. Masalah kecederaan saya ini telah lama mengganggu dan saya berharap dengan pembedahan ini akan membantu saya kembali fokus kepada pelumbaan,” ujarnya.

Khairul Idham juga mensasarkan Misano sebagai Grand Prix untuk dia kembali bersaing, walaupun terpaksa menanti perkembangan pemulihannya terlebih dahulu.

Jelas pelumba itu, rehat yang pendek di dalam kalendar perlumbaan turut memberinya ruang untuk menjalani proses pemulihan sebelum bersedia kembali beraksi. – SM

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button