Luar Negara

Terlalu minat, lelaki keliling dunia jejak 31 lokasi sebenar dalam komik TinTin

MINAT terhadap komik TinTin, seorang lelaki di Indonesia telah mengelilingi dunia untuk mencari lokasi yang sama yang terdapat dalam komik tersebut.

Nelwin Aldriansyah yang merupakan peminat karakter Tintin telah mengembara ke 31 lokasi di 18 negara yang terdapat dalam komik klasik berkenaan.

Nelwin telah berkongsi pengalaman perjalanannya di lokasi-lokasi tersebut di media sosialnya dengan menyunting gambarnya bersebelahan babak-babak yang ada dalam komik.

Memetik laporan Kompas.com, Nelwin berkata dia mula meminati TinTin sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Saya mula membaca komik TinTin sekitar tahun 1978, ketika masih di sekolah rendah. Komik itu mempunyai gambar yang bagus dan banyak gambar yang menjadi tarikan utama saya ketika itu, katanya.

Menurut Nelwin pada 2014, dia mula menyedari banyak lokasi yang dipaparkan dalam komik TinTin merupakan lokasi sebenar yang wujud di dunia dan bukan rekaan semata-mata.

“Bermula 2016, saya mula menjejaki setiap lokasi yang pernah dilawati TinTin dan ia benar-benar wujud di dunia nyata.

“Lokasi pertama yang saya lawati adalah Qutb Minar di New Delhi, India.

“Antara 2016-2019, saya mengembara dengan agak intensif melawat pelbagai lokasi di beberapa negara iaitu Nepal, Rusia, Serbia, Mesir, Palestin, Maghribi, Switzerland, Perancis, Belgium, Iceland, Peru, Mexico, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jordan dan juga Indonesia,” katanya.

Nelwin berkata, pengembaraan TinTin ke pelbagai negara di dunia membantunya mengenali pelbagai mercu tanda terkenal dunia.

Meskipun pengembaraan Nelwin kini terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19, dia masih menyimpan harapan untuk melawat beberapa lagi lokasi dalam senarainya seperti Shanghai dan Lhasa di China, Cheverny di Perancis dan kawasan sekitar Belgium iaitu negara asal TinTin.

Komik TinTin merupakan kisah seorang lelaki berambut kuning yang mengembara ke seluruh pelusuk dunia dan ditemani oleh seekor anjing bernama Milo.

Komik TinTin sangat popular pada abad ke-20 dengan lebih daripada 200 juta buku diterbitkan dan diterjemahkan ke dalam lebih 50 bahasa. -SM

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button