Kemalangan

Helikopter hilang dua sektor operasi mencari digerakkan

BIDOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang bersama helikopter yang hilang diteruskan dengan membabitkan dua sektor iaitu di kawasan Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan dekat sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, SAR dijalankan di kawasan dalam 5 kilometer (km) radius dari lokasi terakhir helikopter mangsa dikesan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC),

“Ia membabitkan kekuatan daripada 10 pegawai dan 197 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Jabatan Perhutanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Polis Bidor, dekat sini pada Isnin, lapor Awani

Tambahnya lagi, sebuah helikopter daripada Unit Udara PDRM turut diterbangkan bagi operasi SAR berkenaan.


“Berdasarkan kepada keadaan cuaca, kita jangkakan ia berada dalam keadaan baik dan insyaAllah akan memudahkan SAR ini,” katanya.

Penerbangan helikopter Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik syarikat swasta itu dilaporkan gagal dihubungi KLATCC pada jam 12.16 tengah hari semalam.

Helikopter yang dikendalikan seorang juruterbang dipercayai bukan warga tempatan itu berlepas dari Subang pada jam 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada jam 12.37 tengah hari.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 3 petang di mana lokasi terakhir helikopter dikesan berhampiran Hutan Simpan Chikus.

(Visited 90 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button