AgamaNasionalNegeri

Hayati semangat berkorban dalam kehidupan sempena Zulhijah – Raja Muda

“Bulan Zulhijjah yang mulia, mengingatkan kita semua mengenai semangat berkorban yang harus dihayati dan diterapkan dalam kehidupan seharian,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sehubungan itu, Baginda mengajak umat Islam untuk bersama-sama memperbanyakkan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11,600 sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 17 bagi tahun 2022 di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh dekat Kangar.

Sebanyak 29 asnaf dalam kariah masjid berkenaan dipilih untuk menerima RM400
setiap seorang yang akan diagihkan oleh amilnya, Ghazali Sabu.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Di kesempatan itu juga, Tuanku Raja Muda turut menyempurnakan titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1443H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum” kepada semua.

Ucapan yang sama juga diucapkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda-anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan semua bagi memastikan segala perincian SOP Ibadah Korban Dan Solat Aidiladha 1443H Ekoran Peralihan Ke Fasa Endemik yang dikeluarkan oleh pihak MAIPs pada 1 Julai 2022 bersamaan 1 Zulhijjah 1443H baru-baru ini dipatuhi dengan sikap penuh tanggungjawab oleh seluruh rakyat yang Baginda kasihi. – SM

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button