Ekonomi

Bank Rakyat lancar program RAKYATpreneur 2.0

Bank Rakyat melancarkan program RAKYATpreneur 2.0 dengan peruntukan dana berjumlah RM2 juta kepada 200 usahawan asnaf berpotensi yang dipilih dari seluruh negara bermula 31 Julai 2021.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan program rintis RAKYATpreneur yang dilancarkan pada Disember tahun lalu yang mana telah berjaya menunjukkan peningkatan sebanyak 10 hingga 15 peratus dari segi keuntungan bulanan perniagaan 20 orang peserta dengan melibatkan keseluruhan dana sebanyak RM100,000.

Peserta RAKYATpreneur 2.0 yang layak juga akan diberi latihan dan bimbingan serta pemantauan secara inklusif merangkumi pelbagai aspek seperti etika keusahawanan, pembangunan idea perniagaan, perakaunan dan pengurusan perniagaan serta pemasaran digital dan penjenamaan selama enam bulan dengan penyediaan modul yang lebih komprehensif dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif ini amat bertepatan dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam membantu membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan B40 termasuk usahawan informal, usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana bagi memastikan pemulihan dan kelestarian operasi perniagaan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.

“Justeru, saya berpendapat bahawa kesinambungan program ini dapat mencapai objektifnya dan berupaya membantu lebih ramai lagi usahawan asnaf bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial mereka seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara,” ujar Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, suntikan dana ini diharapkan dapat membantu peserta RAKYATpreneur dalam usaha meneruskan dan membangunkan perniagaan mereka seterusnya merealisasikan usaha melahirkan lebih ramai usahawan sosial.

“Pelaksanaan RAKYATpreneur 2.0 ini telah dirancang dengan lebih komprehensif bagi memastikan ia terus relevan dan membantu meningkatkan pendapatan peserta sehingga 30 peratus serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan,” tambah Datuk Haji Abd Rani.

Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan

Sehubungan dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, beliau berharap program RAKYATpreneur 2.0 ini menjadikan perjalanan agenda keusahawanan negara lebih rancak dengan meningkatkan penglibatan usahawan asnaf dan mikro meskipun kita berhadapan dengan cabaran pandemik yang belum berkesudahan.

Beliau turut berkongsi kejayaan beberapa usahawan projek rintis RAKYATpreneur yang boleh dijadikan contoh kepada peserta lain.

“Menurut salah seorang penerima bantuan program RAKYATpreneur, Puan Ummi Asma dari Pontian, Johor, dana yang diberikan menerusi program ini digunakan untuk membeli barang keperluan perniagaan seperti mesin percetakan. Alhamdulillah, dana dan bimbingan yang diberikan kepada beliau telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan beliau meskipun berdepan dengan kekangan berikutan penularan COVID-19.

“Manakala, salah seorang lagi peserta projek rintis ini iaitu Puan Nor Hanani Ibrahim berkata, setelah mengikuti kelas bimbingan yang dianjurkan di bawah projek rintis ini beliau berjaya menghasilkan penjenamaan baharu untuk produk minumannya.

“Beliau yang berasal dari Kangar, Perlis berkata berikutan penjenamaan baharu ini beliau berpeluang memasarkan produknya di kedai runcit tempatan sekali gus meningkatkan pendapatan bulanan beliau,” tambah Dato’ Syed Abdul Aziz.

Pada Disember tahun lalu, Bank Rakyat telah memperkenalkan program rintis RAKYATpreneur yang mana seramai 20 orang usahawan mikro dari pelbagai bidang seperti makanan dan minuman, percetakan, kedai runcit dan makanan laut telah terpilih untuk menerima dana berjumlah RM5,000 setiap seorang.

Ia termasuk bimbingan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan menerusi program webinar dengan kerjasama daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta bimbingan kewangan daripada Bank Rakyat. – SM

(Visited 432 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button