Politik

Hasrat Pas bertapak di Sabah bakal berlaku

Nampaknya langkah membawa wakil Pas menduduki salah satu kerusi DUN Sabah hampir menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik Malaysiakini berkata, cadangan berkenaan sebenarnya sudah dipersetujui parti-parti yang ada dalam Gabungan Rakyat Sarawak sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata ia disepakati oleh Perikatan Nasional (PN) dan BN.

PN merupakan gabungan Bersatu bersama beberapa parti lain manakala BN adalah entiti lain namun mereka bersama dalam GRS untuk menghadapi Warisan dalam pilihan raya (PRN) Sabah pada 26 Sept lalu.

Pas menjadi anggota PN tetapi bukan komponen BN namun menjalin kerjasama rasmi dengan UMNO yang mendominasi BN. Pas pula tidak mendapat laluan untuk PRN Sabah sama ada daripada BN atau PN di sebalik rancangan awal mereka untuk meletakkan sehingga 10 calon.


Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, pagi tadi mencadangkan Sabah melantik sekurang-kurangnya seorang wakil Pas dalam DUN untuk mengisi enam kuota ADUN lantikan negeri itu.

“Saya percaya seorang wakil Pas akan mengisi satu dari enam ADUN dilantik.

“Mungkin dua lagi dari UMNO, tiga lagi dari PBS, Star dan Bersatu,” katanya.

Di sebalik kenyataan Annuar itu yang dilihat baru bersifat cadangan, Tuan Ibrahim menegaskan, ia adalah keputusan yang sudah dipersetujui secara bersama lebih awal.

“Sebenarnya perkara ini telah pun dipersetujui oleh semua parti dalam gabungan GRS yang terdiri daripada PN dan BN,” kata Tuan Ibrahim.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas menyambut baik cadangan Annuar kerana ia akan memperkukuhkan muafakat politik disertai mereka selepas mereka bekerja gigih memenangkan GRS.

Menurut Tuan Ibrahim, dia sendiri menggerakkan lebih 500 petugas Pas bagi membantu kemenangan gabungan tersebut.

Justeru katanya memang wajarlah Pas diberikan tempat dalam DUN Sabah.

“Pas akan menanti pengumuman rasmi dibuat,” katanya.

Untuk rekod, Sabah berbeza daripada negeri-negeri lain apabila kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melantik individu tertentu menjadi ADUN tanpa perlu menyertai pilihan raya.

(Visited 86 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button