Agama

Raja Muda Perlis titah guru agama harus dalami manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa ‘Adalah menjadi suatu kemestian bagi setiap guru agama di negeri Perlis memahami, menghayati dan berpegang dengan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Manakala daripada aspek fiqh pula dengan mengamalkan semua mazhab Ahlus Sunnah Wal Jaamah selagi mana ia membawa kepada pemahaman sunnah yang sahih’.

Jentera pentadbiran Negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di negeri Perlis mestilah berusaha dan hendaklah memahami peranan guru-guru serta murabbi ini. Dalam hal ini, bantuan daripada agensi agama Persekutuan khususnya JAKIM, adalah diperlukan bagi memastikan proses pemahaman tersebut dipermudahkan bagi mereka yang berkaitan.

Semua guru agama juga mestilah mendapat tauliah mengajar yang dikeluarkan melalui Jabatan Mufti Negeri Perlis. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan mereka diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang iaitu seksyen 33 Enekmen Jenayah Dalam Syarak dan seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022M/1443H’ yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar pada petang tadi.

Program tersebut dianjurkan oleh agensi-agensi agama Islam Negeri Perlis, yang diterajui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) atas kerjasama bersama dengan agensi agama Persekutuan, khususnya JAKIM.

Hadir sama ialah Menteri Agama, Senator Datuk Hj Idris Hj Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Kedudukan guru dan murabbi adalah mulia di sisi agama Islam. Di bahu mereka terpikulnya tanggungjawab mendidik dan membimbing umat untuk kekal berada di jalan yang benar. Sudah tentu, peranan ini akan menentukan nasib dan keadaan ummat pada masa hadapan’.

Menurut Tuanku Raja Muda, Program Multaqa Murabbi ini hendaklah dijadikan medium perkenalan, penyatuan, dan penyelarasan kepada semua guru agama di negeri ini. Baginda menyokong usaha-usaha sebegini dalam rangka memaju dan merancakkan lagi kelas-kelas pengajian agama khususnya di masjid-masjid dan surau-surau dalam negeri ini, sesuai dengan jolokannya sebagai ‘Negeri Ilmu.

(Visited 447 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button